07 Julai 2013

Setiap hari berdepan kesesakan

28 Syaaban 1434 H. [MOD] -

Setiap hari berdepan kesesakan  Keadaan bulatan Jam Besar Pekan Lama Parit Buntar yang sempit turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas



PARIT BUNTAR - Perubahan aliran trafik sejak pembukaan persimpangan bertingkat di Jalan Taiping dan Jalan Permatang Tok Mahat, di sini menyukarkan perjalanan hampir 500 penduduk di tiga taman perumahan utama sekitar Jalan Pekaka-Pekan Lama Parit Buntar, di sini.

Wakil penduduk, Cheong Joo Khoon, 77 memaklumkan perubahan aliran trafik itu menyebabkan penduduk berkenaan terpaksa berhadapan dengan kesesakan trafik lebih sejam setiap hari untuk ke Pekan Parit Buntar.


Menurutnya, keadaan itu telah dialami sejak seminggu lalu oleh penduduk dari Taman Sempadan, Taman Pekaka dan Taman Transkrian terutama pada sebelah pagi dan waktu pulang kerja.



"Masalah itu bertambah buruk apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) menutup beberapa jalan alternatif untuk ke Pekan Parit Buntar termasuk susur keluar ke Jalan Permatang Tok Mahat. Keadaan itu turut menyebabkan Jalan Pekaka-Pekan Lama Parit Buntar menjadi satu-satunya laluan utama.



"Penduduk terpaksa ambil masa lebih sejam dalam kesesakan lalu lintas di Jalan Pekaka untuk ke pusat bandar sedangkan jaraknya tidak sampai lima Kilometer (KM).



Keadaan lebih teruk ketika pasar malam beroperasi di Pekan Lama Parit Buntar pada Jumaat dan Taman Pekaka pada Ahad," katanya ketika ditemui di Taman Sempadan, semalam.

Setiap hari berdepan kesesakan
Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pengguna jalan raya meletakkan kenderaan di kawasan bulatan Jam Besar Pekan Lama turut menyumbang faktor kesesakan lalu lintas di Parit Buntar.


Katanya, sebahagian besar penduduk mengakui tidak berani keluar rumah ketika pasar malam diadakan kerana bimbang berlaku kemalangan di simpang keluar taman perumahan di samping tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.


Minta bantuan trafik


Seorang penduduk lain, Ng Kee Song, 74 merasakan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu menaik taraf aliran trafik di kawasan bulatan Jam Besar Pekan Lama Parit Buntar untuk menyelesaikan masalah aliran trafik yang berlaku sejak pembukaan kedua-dua persimpangan bertingkat.



Setiap hari berdepan kesesakan
Kesesakan lalu lintas di Jalan Pekaka menyukar penduduk setempat untuk ke Parit Buntar.


Kee Song turut menyatakan penduduk berharap bantuan perkhidmatan polis trafik di kawasan bulatan Jam Besar Pekan Lama Parit Buntar terutama waktu petang pada Jumaat dan Ahad untuk memastikan aliran trafik lebih lancar.



"Kami dapati kesesakan trafik turut disebabkan tindakan segelintir pengguna jalan raya meletakkan kenderaan mereka berdekatan susur keluar dan masuk ke kawasan bulatan jam besar.



"Harap tindakan tegas diambil kepada kenderaan yang menghalang kelancaran trafik," katanya.



Lee Kia Ooi, 60 menganggap kegagalan penyediaan laluan alternatif ke Parit Buntar mengundang kebimbangan penduduk terhadap keselamatan pelajar sekolah,  suri rumah dan pemilik lesen memandu baru.




Kajian sedang dibuat: JKR



Dalam pada itu, JKR Daerah Kerian ketika dihubungi memaklumkan sedang melaksanakan kajian trafik selama dua hari dengan meletakkan dua pembanci pada setiap laluan trafik bermasalah bagi mendapatkan data lengkap untuk dianalisis.



Menurut sumber JKR Daerah Kerian, pelaksanaan kajian berkenaan dibuat selepas jabatan itu mengadakan pemantauan trend aliran trafik selepas persimpangan bertingkat terbabit dibuka seminggu lalu.



"Data yang diperoleh akan dianalisis dan diguna pakai oleh JKR untuk membina model prototaip cadangan penyelesaian laluan trafik secara berkomputer. Ia dijangka siap dalam tempoh seminggu.



"Cadangan model prototaip itu akan dipersembahkan kepada Jawatankuasa Lalu Lintas Daerah Kerian untuk mendapatkan persetujuan sebelum ia diimplementasikan secara rasmi oleh JKR," jelasnya.



Menyentuh soal cadangan penyelesaian kesesakan trafik di Jalan Pekaka-Jalan Pekan Lama Parit Buntar, sumber berkenaan menegaskan bahawa JKR sudah mempunyai beberapa pilihan penyelesaian yang difikirkan sesuai.



"Bagaimanapun kita akan ambil pandangan jawatankuasa berkenaan untuk laksanakan pilihan penyelesaian terbaik demi kepentingan pengguna jalan raya. Kita percaya masalah kesesakan trafik dapat diselesaikan sedikit masa lagi," katanya.


Sinar/-

Tiada ulasan: