07 Julai 2013

Tazkirah Ramadhan atau tazkirah politik?

28 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Zainal Abidin Nor
Tetapi bukankah politik dan agama tidak boleh dipisahkan? Ajaran siapakah yang memisahkan politik dan agama Islam?
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia telah menetapkan Isnin, 8 Julai bersamaan 29 Syaaban 1434 sebagai tarikh untuk melihat anak bulan Ramadhan bagi menentukan permulaan puasa bagi umat Islam di negara ini.

Dalam satu kenyataan, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh itu adalah berdasarkan rukyah dan hisab. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa yang ditetapkan, melalui radio dan televisyen.
- See more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/07/06/tazkirah-ramadhan-atau-tazkirah-politik/#sthash.rxqtdmdo.dpuf
Namun tarikh permulaan berpuasa bukan menjadi pokok perbualan di sini tetapi yang menjadi fokus tulisan ini ialah tindakan Jawatankuasa Dakwah dan Islamiah Negeri (JDIN) Pahang yang melarang semua masjid di negeri itu mengadakan tazkirah Ramadhan sewaktu solat tarawih.
Pengerusi JDIN, Syed Ibrahim Syed Ahmad dalam satu kenyataannya pada 2 Julai lalu berkata, tazkirah sewaktu solat tarawih adalah dilarang diadakan di negeri itu.
Tazkirah Ramadhan merupakan sesi ceramah pendek yang diselit selepas solat Isya’ sebelum solat Tarawih. Ada juga masjid dan surau yang menganjurkan sesi tazkirah selepas solat Tarawih. Masjid dan surau yang menganjurkan tazkirah biasanya melakukan solat Tarawih sebanyak lapan rakaat berbanding 20 rakaat di masjid yang tidak mengadakan sesi tazkirah.
Balik kepada tindakan JDIN, larangan ini dipercayai mempunyai motif politik dan arahan dibuat oleh para pemimpin tertinggi negeri itu. Umumnya mereka ini bimbang dengan perkembangan dan kesedaran Islam dan takut kepada bayang-bayang sendiri.
Memandangkan di bawah perlembagaan negara, urusan adat istiadat Melayu dan agama Islam berada di bawah kuasa kerajaan negeri dan kuasa sultan negeri-negeri berkenaan maka pelaksanaan larangan tazkirah adalah tidak seragam.
Kita ambil contoh Sarawak. Bumi kenyalang itu tidak bercadang untuk melarang masjid dan surau di negeri itu mengadakan ceramah atau tazkirah sewaktu solat Tarawih pada bulan Ramadhan nanti.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Ir Daud Abdul Rahman dalam satu kenyataan pada 3 Julai lalu berkata pihaknya melihat larangan itu tidak perlu kerana tazkirah yang dijalankan di Sarawak selama ini tidak mempunyai unsur-unsur politik.
“Kami beri kebebasan kepada masjid dan surau untuk mengadakan tazkirah. Kami di Sarawak tidak ada isu, semua tazkirah di negeri ini berjalan dengan baik, tazkirah juga tidak ada unsur politik dan kempen daripada mana-mana pihak,” katanya.
Agama dan politik
Tetapi bukankah agama dan politik tidak boleh dipisahkan?  Ajaran siapakah yang memisahkan politik dan agama Islam?  Kenapa kita mempunyai persepsi yang negatif apabila disebut politik? Kalau mengikut tafsiran Barat memanglah dikatakan politik itu kotor.
Tetapi politik dalam Islam dengan disalut dengan akhlak Al Quran sebagai panduan dan cara hidup maka ianya akan menjadi suatu perjuangan yang murni, noble dan ‘sacrosant’. Ini jauh berbeza dengan politik Machiavelli yang mengamal doktrin ‘matlamat menghalalkan cara’.
Isu tazkirah politik dan kepimpinan yang dibawa ke dalam masjid dan surau sebenarnya amat ditakuti oleh para pendokong dan pemimpin kerajaan yang memerintah dan dianggap boleh mengancam kedudukan mereka sebagai wakil rakyat yang korup.
Mereka bimbang masjid dan surau dijadikan medan oleh ustaz dan penceramah. Di samping menyentuh topik ibadat puasa, penceramah akan menyelitkan isu-isu semasa, lantas perbicaraan tentang penyelewengan dan kepincangan terutama rasuah yang berlaku dalam masyarakat tidak dapat dielakkan.
Tazkirah juga dapat memberi kesedaran apabila Allah SWT mengkehendaki, hati para jemaah terbuka untuk menerima cahaya hidayah dan petunjuk untuk melihat keadilan itu sebagai keadilan dan kejahatan itu sebagai kejahatan.
Apabila para jemaah dapat melihat perkara ini dengan jelas maka kecenderungan politik mereka akan berubah dan persepsi mereka turut berubah.  Mereka lantas dapat membezakan parti politik mana yang betul-betul memperjuangkan Islam dan parti mana pula yang mempermain dan mempersenda Islam.
Namun begitu, umat Islam kini tidak lagi takut dengan ugutan-ugutan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengatur kehidupan berpolitik umat Islam mengikut acuan mereka.  Umat Islam kini semakin berani untuk tampil ke hadapan bagi memperjuangkan kebenaran dan keadilan.
Apa pula yang hendak ditakuti jika sekiranya kita benar-benar yakin dan percaya dengan Islam dan janji Allah. Kalau kehidupan kita berpaksikan kepada Allah dan ingin berlari menuju kepadaNya maka tidak ada apa-apa yang perlu ditakuti dan dibimbangkan.
Ustaz dan penceramah yang diundang untuk menyampaikan tazkirah tidak perlu takut kerana PAS pula bersedia untuk memberi khidmat guaman sekiranya mereka ditahan ekoran memberi tazkirah di sepanjang bulan Ramadhan yang hampir tiba itu.
Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi memberi jaminan tersebut khususnya kepada para ustaz dan penceramah yang menyampaikan tazkirah Ramadhan di negeri Pahang.
Cabaran
Anggaplah larangan ini sebagai satu cabaran untuk menegakkan agama Allah.  Nabi Muhammad saw pun pernah dihalang, dibaling dengan batu oleh penduduk Taif dan belakang badannya dilumur dengan najis binatang, semasa baginda bertungkus lumus hendak menyampaikan dakwah Islam.
Tazkirah Ramadhan atau tazkirah politik? Mana-mana pun boleh. Umat Islam harus bersikap terbuka dan berlapang dada dan mendengar serta mengambil iktibar daripada apa yang hendak disampaikan oleh ustaz dan penceramah.
Tidakkah tindakan ini boleh memecah-belahkan penduduk-penduduk Melayu-Islam yang hidup dalam satu kariah nanti?  Perpecahan tidak akan berlaku sekiranya kita merendah diri dan mengoreksi diri (bermuhasabah diri) dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.
Jika tazkirah yang disampaikan itu terkena pada batang hidung sendiri, janganlah cepat melenting dan menjadi marah pula. Itulah sebenarnya mesej yang hendak disampaikan supaya kita menjadi seorang Muslim yang lebih baik selepas Ramadhan kelak.
Kalau dilihat dari sudut hukum, menghadiri majlis-majlis ilmu dan kuliah (termasuk majlis tazkirah) adalah lebih afdal dan lebih besar pahalanya berbanding dengan melakukan solat sunat Tarawih itu sendiri.
Sabda Rasulullah saw: “Ganjaran bagi orang yang menghadiri majlis ilmu adalah lebih besar pahalanya berbanding dengan solat sunat 1,000 rakaat.” (Hadith  riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad).

freemalaysiatoday.com

Tiada ulasan: