31 Julai 2013

Tempoh visa semasa ketibaan negara tertentu dipendekkan

22 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen memendekkan tempoh visa semasa ketibaan (VOA) untuk rakyat dari negara tertentu yang sering kali menjadikan Malaysia sebagai negara transit untuk menetap secara haram di Australia. 
Tanpa menyebut nama negara-negara terbabit, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tempoh visa untuk negara-negara berkenaan dipendekkan kepada 14 hari berbanding 90 hari sebelum ini. 


Beliau berkata, langkah itu dibuat atas permintaan kerajaan Australia, katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kuppa di pejabatnya di sini, hari ini. 


"Langkah terbaharu Australia untuk menempatkan pelarian ke Papua New Guinea merupakan tindakan bijak dan terbaik untuk mengatasi masalah pelarian kerana Malaysia dan negara-negara Asean lain sering dijadikan sebagai negara transit sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Australia," katanya. 

Sementara itu Kuppa berkata, pelarian yang tiba di Australia melalui bot untuk mendapatkan suaka di negara itu akan ditempatkan di Papua New Guinea. 

"Kerajaan Australia mahu menghantar mesej kepada sindiket penyeludupan manusia dan mereka yang ingin mendapatkan suaka bahawa tidak guna pergi ke Australia tanpa visa dan dokumen yang sah kerana mereka akan dihantar ke Papua New Guinea," katanya. 
Pada 19 Julai, Perdana Menteri Australia Kevin Rudd berkata pemohon suaka yang tiba dengan bot tidak akan berpeluang menetap di Australia sebagai pelarian kerana Australia telah mengesahkan perjanjian dengan kerajaan Papua New Guinea mengenai pemohon suaka. 

Rudd dan Perdana Menteri Papua New Guinea, Peter O'Neill menandatangani perjanjian mengenai pemohon suaka. 

Pemohon suaka akan dihantar ke Papua New Guinea untuk penilaian, dan jika mereka didapati pelarian, mereka akan ditempatkan di sana, jika tidak, mereka akan dihantar balik ke negara mereka atau dihantar ke negara ketiga, kata Rudd sambil menjelaskan bahawa perjanjian itu bertujuan mengentikan penyeludupan manusia. 

- BERNAMA

Tiada ulasan: