19 Ogos 2013

37 terbunuh banjir di China

12 Syawal 1434 H. [MOD] -


Sebahagian daripada anggota polis separa tentera mengalihkan sampah-sarap bagi memudahkan aliran banjir selepas Taufan Utor melanda daerah Jiangyong, wilayah Hunan, China, kelmarin. - REUTERS

BEIJING 18 Ogos - Sekurang-kurangnya 37 orang maut, manakala berjuta-juta yang lain terjejas akibat bencana banjir yang melanda timur laut China, selain Taufan Utor membadai wilayah selatan negara ini.
Agensi berita Xinhua hari ini melaporkan, bencana banjir yang melanda bahagian di timur laut negara ini merupakan yang paling buruk dalam tempoh beberapa dekad lalu.

Menurut Jabatan Hal Ehwal Awam wilayah Jilin, seramai 890,000 orang terjejas akibat banjir, manakala 35,000 kediaman musnah dengan kerugian ekonomi sebanyak AS$387 juta (RM1.2 bilion) dilaporkan.

Lebih 100,000 mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

Sebanyak 11 kematian dilaporkan di wilayah Heilongjing, manakala tiga dilaporkan hilang sejak banjir bermula pada 10 Ogos lalu.

Hampir dua juta penduduk di Heilongjing terjejas akibat banjir tersebut, menyaksikan 140,000 orang dipindahkan.

Landasan kereta api dan lebuh raya ditutup dan kebanyakan jambatan rosak akibat banjir.

Wilayah Guangdong dan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang pula dilanda Taufan Utor, meragut sekurang-kurangnya 10 orang dan empat hilang.

Taufan ke-11 terkuat itu melanda selatan negara ini pada Rabu lalu berhampiran Yangjiang, Guangdong selepas membadai Filipina pada awal minggu ini.

Taufan itu mengorbankan tujuh orang di Filipina. - DPA/AFP

Tiada ulasan: