19 Ogos 2013

Cubaan hapus Ikhwanul Muslimin

12 Syawal 1434 H. [MOD] -

Gambar bertarikh 15 Ogos lalu yang disiarkan al-Jazeera, menunjukkan sebahagian pengikut Ikhwanul Muslimin dirawat di sebuah hospital sementara yang sesak dengan mangsa yang cedera akibat kerakusan pasukan keselamatan, berhampiran Dataran Rabaa al-Adawiya di Kaherah. - AGENSI

KAHERAH 18 Ogos - Cubaan kerajaan sementara Mesir untuk mengharamkan semula Ikhwanul Muslimin, dijangka memburukkan lagi konflik yang kian parah di negara ini selain gesaan daripada sebuah parti yang mahu pergerakan itu dilabel sebagai pertubuhan pengganas.

Pemimpin Parti Demokratik Sosial Mesir, Mohamed Nour Farahat hari ini menggesa pejabat Presiden mengeluarkan kenyataan menjelaskan kepada masyarakat dunia mengapa Ikhwanul Muslimin perlu digelar kumpulan pengganas disertai fakta-fakta kononnya kerajaan sementara melaksanakan operasi pembersihan secara aman.

"Kenyataan kerajaan sementara perlu memasukkan fakta ancaman yang didatangkan Ikhwanul Muslimin akibat daripada demonstrasi besar- besaran yang diadakan di seluruh negara," jelas beliau dalam laporan disiarkan agensi berita Allafrica.com.

Gesaan tersebut dikhuatiri boleh mengakibatkan lebih banyak pertumpahan darah selepas Ikhwanul Muslimin berikrar meneruskan demonstrasi selama seminggu bermula semalam bagi membantah kekejaman pasukan keselamatan menggempur penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi yang sehingga kini mengakibatkan hampir 3,000 maut.

Pergerakan Islam yang mempunyai berjuta-juta pengikut di seluruh Mesir itu, mula mengadakan perhimpunan selepas penggulingan Mursi, menuntut supaya pemimpin tersebut dikembalikan sebagai Presiden, selepas mereka menyifatkan tindakan menyingkirkannya sebagai rampasan kuasa.

Kerajaan sementara Mesir hari ini memulakan tindakan undang-undang untuk mengharamkan pergerakan Ikhwanul Muslimin di negara ini.

Agensi berita Egypt Independent melaporkan Menteri Perpaduan Sosial, Ahmed al-Borai sebagai berkata, kementeriannya bertanggungjawab menyelia tindakan tersebut.

"Keputusan untuk mengharamkan pergerakan itu sudah menjadi tanggungjawab undang-undang selepas penglibatan mereka dalam tindakan keganasan.

"Kementerian mempunyai hak undang-undang untuk mengharamkan pertubuhan itu,'' katanya.
Beliau berkata, permohonan membubarkan pergerakan Islam itu telah dihantar ke Persekutuan Agung Pertubuhan Bukan Kerajaan untuk diteliti.

"Keputusan rasmi dijangka dikeluarkan dalam tempoh 15 hari,'' katanya.

Ahmed berkata, keputusan untuk mengharamkan pergerakan itu bakal memperlihatkan sumber penajaan Ikhwanul Muslimin, identiti sebenarnya dan agenda rasmi mereka. - AGENSI/DPA



Tiada ulasan: