PETALING JAYA: Seorang pembantu rumah warga asing mendakwa bahawa ejennya menuntut bayaran sebanyak RM6,500 atau memberikan salah satu daripada buah pinggangnya sebagai pertukaran bagi mendapatkan pasport untuk pulang ke negaranya.
P. Jayadevi dari Madurai, India, cuba untuk pulang ke rumah selepas menerima berita suaminya sedang sakit tetapi terperangkap di Malaysia selepas ejennya menghilangkan diri bersama pasport dan dokumen perjalanan yang lain.
"Saya telah merayu kepadanya untuk membenarkan saya pulang ke rumah tetapi dia berkata jika saya mahukan pasport saya, saya perlu membayar RM6,500. Katanya, jika saya tidak dapat mencari wang, saya perlu menjual buah pinggang saya kepadanya," kata ibu kepada tiga orang anak berusia 47 tahun itu.
Jayadevi juga mendakwa ejennya telah memukulnya beberapa kali dengan tali pinggang dan menahan gajinya sebanyak RM2,400.
"Dia berkata akan menggunakan wang itu untuk mendapatkan permit kerja untuk saya tetapi saya telah diberitahu ia adalah palsu.
"Dia juga pernah mengugut saya, dengan berkata akan menolak saya di hadapan kereta api atau menjual saya sebagai pelacur jika saya terus bertanya tentang gaji," katanya.
Namun dia bernasib baik kerana dapat menghubungi keluarganya yang membawa kes itu kepada kumpulan hak asasi manusia di negara ini.
Wakil kumpulan itu membuat laporan polis bagi pihaknya di balai polis Sea Park di sini, Sabtu.
Presiden kumpulan itu, T. Kamalanathan, berkata ejen itu, juga seorang warga India, terkenal dengan aktiviti penyeludupan manusia dan Jayadevi telah menyelamatkan dirinya dengan membuat pendedahan tentang perkara ini.
"Saya telah berdepan beberapa kes melibatkan lelaki ini di mana pekerja telah menjadi mangsa," katanya, sambil menambah Jayadevi telah bekerja di lima buah rumah berbeza sejak tiba di sini pada 2 Februari lalu dan tidak dibayar.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Fadil Marsus berkata Jayadevi akan dibawa ke hospital untuk rawatan manakala kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, kekecohan yang berlaku pada Sabtu, di rumah di mana Jayadevi bekerja apabila NGO mengiringinya ke balai polis.
Majikannya berkata bahawa mereka memerlukannya untuk terus berada di sini dan menjaga ahli keluarga yang sakit, manakala Kamalanathan menegur majikannya kerana mengambil Jayadevi daripada sumber yang boleh dipersoalkan..mStar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan