Malaysiakini/-
- Ikhwanul Muslimin berisiko berdepan penghapusan secara politik apabila kerajaan Mesir pimpinan tentera mengugut mengharamkan pergerakan itu selepas melancarkan tindakan keras terhadap penyokongnya dan menyebabkan ratusan terbunuh.
Bergelut menegakkan keabsahan kerajaannya selepas penggulingan presiden Mohamed Mursi, pentadbiran baru kini berkata, negara umat Islam terbesar itu sedang berperang dengan keganasan, lapor Reuters.
Lebih 700 orang terkorban dalam insiden keganasan selama empat hari setakat ini, kebanyakannya penyokong Mursi.
Ia sekali gus mengundang kritikan negara Barat yang bukan hanya tidak senang dengan pentadbiran Islamis tetapi juga rampasan kerajaan yang dipilih rakyat.
Tindakan tegas Mesir itu bagaimanapun mendapat sokongan sekutu mereka di rantau itu seperti Arab Saudi yang sekian lama bimbangkan penularan ideologi Ikhwan di negara monarki itu.
Menyalahkan Ikhwan atas pertumpahan darah itu, Perdana Menteri Mesir Hazem el-Beblawi mencadangkan pembubaran pergerakan itu, sekali gus bakal memaksanya menjadi pertubuhan bawah tanah dan kemudian menggerakkan tangkapan terhadap anggotanya.
Kerajaan Mesir bagaimanapun berkata masih mengkaji kemungkinan itu.
"Tiada pendamaian lagi dengan tangan yang berlumuran darah dan mengacukan senjatanya kepada negara dan institusi," kata Beblawi kepada pemberita.
PBB kutuk serangan rumah ibadat, hospital
Kenyataan daripada Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon pula mengutuk serangan terhadap gereja, hospital dan kemudahan awam dan menggesa kedua-dua pihak bertelagah menghentikan keganasan.
"Setiausaha agung percaya ia boleh mengelakkan kehilangan nyawa terus berlaku dan ia patut menjadi keutamaan terpenting di saat-saat bahaya ini," menurut kenyataan itu.
"Dengan polarisasi jelas masyarakat Mesir hari ini, kedua-dua pihak berkuasa dan pemimpin politik berkongsi tanggungjawab bagi menamatkan keganasan."
Keganasan tercetus sebentar pada Sabtu apabila penyokong Mursi berbalas tembakan dengan pegawai tentera di masjid di tengah-tengah kota Kaherah, di mana penunjuk perasaan Ikhwan berlindung selepas pertembungan yang mencatatkan 95 kematian sebelum ini.
Polis akhirnya mengosongkan bangunan dan membuat tangkapan, dengan orang ramai di jalanan bersorak terhadap mereka dan mengganggu pemberita asing yang membuat liputan.
"Kami sebagai rakyat Mesir berasa sangat kesal terhadap liputan apa yang terjadi di Mesir," kata penasihat politik presiden Mostafa Hegazy mendakwa media Barat mengabaikan laporan serangan terhadap polis dan serangan pada gereja yang dikaitkan dengan kumpulan Islamis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan