06 Ogos 2013

Imam berpengaruh maut ditembak

28 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

BANGKOK 5 Ogos - Seorang pemimpin agama yang berpengaruh dalam mengakhiri konflik di selatan Thailand, ditembak mati oleh empat penyerang tidak dikenali di sebuah pasar di Pattani, hari ini.

Sumber polis melaporkan, mangsa dikenali sebagai Yacob Raimanee, 50, yang merupakan imam di Masjid Pattani Tengah, kawasan ibadat utama di wilayah selatan, ditembak mati ketika menaiki sebuah kereta pacuan empat roda bersama ahli keluarganya.

Pembunuhan terbaharu itu meningkatkan kebimbangan tentang masa depan rundingan damai antara Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan kerajaan Thailand.

Penyelidik untuk Pemantau Hak Asasi Manusia di Thailand, Sunai Phasuk berkata, Yacob merupakan pemimpin yang berusaha keras menyokong menamatkan pemberontakan golongan belia Islam di wilayah Pattani.

"Mangsa merupakan antara pemimpin berprofil tinggi yang dituduh bekerjasama dengan kerajaan dan menjadi sasaran kumpulan pemberontak," jelasnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan dan ketua rundingan, Paradorn Pattanatabut berkata, Yacob merupakan seorang daripada pemimpin agama yang menyokong rundingan berkenaan.

"Mangsa merupakan individu yang menyokong rundingan damai ini dan kini beliau telah dibunuh.

"Ada pihak cuba menakut-nakutkan penduduk di wilayah selatan negara ini, tetapi rundingan damai tersebut perlu diteruskan," tegasnya.

Paradorn dalam pada itu menegaskan, pasukan keselamatan akan meneruskan operasi, terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan kumpulan pemisah.

Pasukan keselamatan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

"Setiap tahun ketika minggu terakhir Ramadan, kumpulan pemisah akan melancarkan serangan, terutamanya ke atas pasukan keselamatan," katanya.

BRN sebelum ini mendakwa mereka tidak bertanggungjawab ke atas semua serangan keganasan yang berlaku di wilayah selatan Thailand, baru-baru ini.

Paradorn berkata, kerajaan akan menghubungi pihak pengurusan di Malaysia pada 18 Ogos ini bagi menetapkan tarikh rundingan damai yang seterusnya.

Dalam perkembangan lain, 10 dilaporkan cedera dalam dua kejadian berasingan di selatan Thailand hari ini.
Lima anggota tentera cedera dengan dua daripadanya parah dalam insiden bom di Kg. Lamda di Yupo, daerah Muang Yala.

Di Pattani, lima lagi cedera apabila sebutir bom tangan M67 dilempar ke arah sebuah gerai makan Buddha, tengah hari ini. - AGENSI



Tiada ulasan: