01 Ogos 2013

Selangor Mohon Penguasa PBT Jadi Polis Bantuan

23 Ramadhan 1434 H.

SHAH ALAM: Berikutan peningkatan kes jenayah berat melibatkan senjata api, kerajaan Selangor akan memohon daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjadikan pasukan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai polis bantuan bagi memastikan keselamatan orang awam lebih terjamin.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata setelah permohonan sama ditolak sebelum ini, kerajaan Selangor akan sekali lagi memohon kepada PDRM dan Kementerian Dalam Negeri dalam usaha mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa membanteras jenayah.
"Justeru, kami bersedia mengadakan perbincangan bersama menteri Dalam Negeri dan ketua Polis Negara bagi mencapai kata sepakat dalam perkara ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, Rabu.
Abdul Khalid berkata baru-baru ini, PDRM hanya meluluskan permohohonan untuk membenarkan 20 penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai polis bantuan tetapi kuasa itu sangat terhad kepada satu tugas sahaja iaitu mengawal bangunan MBPJ.
Beliau berkata dalam keadaan sekarang, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor akan sependapat bahawa sudah tiba masanya usaha menjaga keselamatan dipertingkatkan termasuk dengan membuka peluang kepada lebih ramai pelantikan anggota polis bantuan yang mempunyai kuasa sama seperti anggota polis.
"Kami akan cuba cari jalan bagaimana penambahan tenaga pasukan keselamatan itu diberikan lebih luas lagi kuasa dan sudah tentu untuk diberikan lebih kuasa, latihan serta penempatan diperlukan dan untuk itu kerajaan negeri bersedia membiayainya.
"Bagaimanapun mereka (anggota penguatkuasa yang dilantik sebagai polis bantuan) akan mempunyai kuasa yang sama dengan polis hanya bila polis bersetuju mereka dilantik sepenuhnya dan telah diberi pentauliahan," katanya.
Abdul Khalid berkata kerajaan Selangor bersedia mengemukakan kira-kira 30 anggota penguatkuasa PBT dengan anggaran kos latihan dan penempatan melibatkan lebih daripada RM3,000 seorang. BERNAMA

Tiada ulasan: