22 September 2013

Fuji Xerox lancar tiga mesin fotostat baru

15 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -

Foto
DocuCentre S1810

FUJI Xerox Asia Pacific Pte Ltd (Fuji Xerox) melancarkan tiga model mesin fotostat baru DocuCentre dalam usaha meningkatkan penguasaan pasaran sehingga 30 peratus dalam tempoh setahun yang akan datang.


Syarikat itu kini adalah peneraju dalam pasaran mesin fotostat dalam kategori mesin berkelajuan satu hingga 30 cetakan seminit (ppm) bagi Asia Pasifik dan ia menguasai kira-kira 20 peratus pasaran. 


Pengurus Besarnya, Ken Lee berkata, pasaran cetakan satu hingga 30 ppm mewakili bahagian terbesar segmen mesin fotostat di Malaysia yang mana pelanggannya terdiri daripada peniaga, Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) serta syarikat berskala sederhana. 

Katanya, segmen pelanggan ini amat besar dengan pelbagai kategori penggunaan mesin fotostat dan dengan tiga model mesin fotostat Fuji Xerox DocuCentre itu, syarikat berkenaan yakin untuk meraih lebih banyak penguasaan pasaran dalam tempoh setahun lagi.

“Tiga model baru mesin pencetak Fuji Xerox ini adalah DocuCentre S1810, DocuCentre S2010 dan DocuCentre S2420 yang mana kesemuanya menampilkan inovasi terkini kami bagi memberikan nilai terbaik kepada pelanggan.

“Tumpuan penawaran kami dalam ketiga-tiga model ini adalah ketahanan penggunaan, penjimatan dakwat dan penggunaan tenaga, fungsi pengendalian yang amat ringkas dan mudah serta aspek penyelenggaraan selepas pembelian menerusi wakil pengedar kami,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran barisan mesin fotostat Fuji Xerox DocuCentre baru di Petaling Jaya, semalam.

Yang hadir sama ialah Pengurus Segmen Produk Nilai bagi rantau Asia Pasifik, Simon King. 
Antara ciri menarik utama barisan mesin fotostat terbaru Fuji Xerox adalah paras cairan dakwat suhu rendah yang menjimatkan tenaga, kebolehan mengumpul kembali dakwat lebihan semasa proses pencetakan yang menjanjikan penjimatan penggunaan dakwat sehingga 20 peratus.

Selain itu, ketiga-tiga pencetak itu ditampilkan dalam rekaan terkini, panel yang lebih ringkas dan mudah dikendalikan, fungsi pengunci tempat simpanan kertas bagi mengelak kertas diambil oleh individu yang tidak sepatutnya.

“Kami juga menawarkan gerenti berdasarkan jumlah cetakan menerusi wakil pengedar kami dengan kemudahan penyelenggaraan di premis pelanggan sebagai kepada tambahan jaminan setahun selepas pembelian,” kata Ken.

Ketiga-tiga mesin fotostat itu sudah berada di pasaran mulai semalam yang mana model S1810 ditawarkan pada harga RM5,299, S2010 pada harga RM5,599 dan S2420 ditawarkan pada harga RM6,999. Fuji Xerox menjangkakan model DocuCentre S2420 sebagai model terlaris.

Tiada ulasan: