22 September 2013

Timbalan Menteri: Kerajaan tidak boleh halang abu mayat Chin Peng pulang


15 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
Kerajaan tidak boleh menghalang sesiapa sahaja membawa pulang abu mayat Chin Peng ke Malaysia kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar).

Menurut Wan Junaidi, jika seseorang ditahan di lapangan terbang dengan abu mayat Chin Peng, beliau tidak tahu bagaimana pihak berkuasa akan menguruskan situasi berkenaan.

“Tiada apa yang boleh dilakukan pihak berkuasa. Kita tidak mempunyai undang-undang untuk menghalang atau mengenakan tindakan kepada seseorang yang membawa abu masuk,” katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.
“Saya tidak boleh bayangkan. Saya tidak tahu undang-undang mana boleh halang mereka,” tambah Wan Junaidi yang pernah memerangi komunis semasa darurat di Sarawak.
Beliau mengatakan jika terdapat undang-undang sekalipun, sukar bagi kerajaan untuk menghalang seseorang untuk membawa abu masuk ke dalam negara.
“Tiada apa yang kerajaan boleh buat tentangnya,” kata Junaidi yang juga merupakan seorang peguam.
Chin Peng atau nama sebenarnya, Ong Boon Hua, meninggal dunia di hospital di Bangkok, Thailand pada ulangtahun sambutan Hari Malaysia ke 50, sebulan sebelum hari lahirnya yang ke-89.
Ketika hayatnya, beliau berulang kali menyuarakan hasratnya untuk dikebumikan di kampungnya di Sitiawan, Perak.
Beliau dilantik sebagai setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) pada usia 23 tahun dan menjadi “musuh nombor satu” British di Asia Tenggara ketika pemberontakan komunis di Malaya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata, kerajaan tidak akan menarik diri daripada pendirian untuk menghalang abu mayat Ching Peng dibawa balik dan mencabar mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu untuk mengambil tindakan undang-undang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata semua pintu masuk ke dalam negara berada dalam keadaan berjaga-jaga, kerana kerajaan bimbang abu mayat Chin Peng dibawa masuk.
Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA juga melahirkan pendapat mayat Chin Peng patut dibenarkan pulang ke sini.
Pengerusi biro publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie berkata, jika mayat pengganas Dr Azahari Husin dan Nordin Mohamad Top dibenarkan untuk dikebumikan di Malaysia, mengapa tidak Chin Peng.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menghalang abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia kerana katanya, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan abu mayat pemimpin komunis itu.
Menurutnya, Islam sendiri tidak pernah menghalang mayat musuh agama untuk dijauhkan daripada tempat suci dan keadaan seumpama turut berlaku di Mekah.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor dalam temuramah bersama stesen radio BFM semalam memberi amaran Malaysia akan menjadi bahan ketawa jika kerajaan tidak berganjak daripada keputusan “naïf” dengan enggan membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke dalam negara untuk disemadikan.
Menurutnya, tindakan itu juga akan menyebabkan bekas pemimpin komunis itu bertukar menjadi ikon dan ia adalah langkah terkebelakang dalam cubaan kerajaan untuk memenangi semula sokongan masyarakat Cina berikutan prestasi buruk dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13) lalu. 

themalaysianinsider.com

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jasad dah jadi abu apa masalahnya..