Malah, menteri itu berkata masih ramai yang 'mendewakan' Chin Peng di negara ini.



"Di saat kita merayakan perjuangan Almarhum Tunku Abdul Rahman membentuk Malaysia, kita mesti ingat bahawa inilah orang yang menentang setiap perjuangan Almarhum Tuanku.

Parut dan luka penderitaan rakyat di bawah cengkaman pengganas komunis adalah trauma yang tidak akan dilupai," kata Ahmad Shabery dalam kenyataan semalam.

Chin Peng dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada kira-kira 6.20 pagi kerana sakit tua, sebulan sebelum tarikh ulang tahun ke-89 kelahirannya. Chin Peng dilahirkan pada 21 Okt, 1924.

Dalam reaksinya mengenai kematian itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata di Kota Kinabalu bahawa kerajaan tidak akan mempertimbang sebarang permintaan daripada anggota keluarga Chin Peng supaya mayatnya dibawa pulang ke negara ini untuk urusan pengebumian.

Najib menarik perhatian bahawa keganasan komunis yang dipimpin Chin Peng terutama di era darurat telah menyebabkan ribuan nyawa terkorban terutama anggota keselamatan di samping beribu yang lain mengalami kecederaan atau kecacatan.

Hari Malaysia disambut pada 16 Sept setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh sama pada 1963.


Bernama