05 September 2013

Rafizi sedia belajar dengan Nazri melalui debat

28 Syawal 1434 H. [MOD] -


Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bersedia 'belajar' daripada kepintaran Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz melalui debat atau forum.


Menurut Rafizi, beliau yakin Nazri mampu menjelaskan kepadanya sebab BN "bertindak membebankan rakyat dengan menaikkan harga minyak".



"Saya pasti beliau boleh mempamerkan kepintaran beliau kelak dengan tampil bersemuka dengan saya dan biarlah rakyat menghakimi betapa pintarnya beliau," kata Rafizi dalam satu kenyataan ringkasnya tengah hari tadi.



Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Nazri semalam.



Nazri semalam menyifatkan cadangan Rafizi agar menteri mengeluarkan belanja petrol untuk kenderaan rasmi mereka sebagai satu cadangan bodoh.



Mengulas perkara lain, Rafizi berkata cadangan Nazri agar menteri besar dan ketua menteri Pakatan Rakyat melaksanakan dahulu cadangan Rafizi "tidak relevan".



"Persoalan bahawa langkah ini perlu dilaksanakan dahulu di negeri-negeri Pakatan Rakyat tidaklah relevan kerana rakyat membayar cukai kepada kerajaan persekutuan, bukannya kerajaan negeri.



"Pun begitu, saya akan menulis secara rasmi kepada Menteri-menteri besar Pakatan Rakyat agar mengemukakan langkah-langkah untuk mengurangkan belanja petrol yang ditanggung oleh rakyat dalam mereka menjalankan tugas mereka," kata Rafizi.


Malaysiakini

Tiada ulasan: