05 September 2013

Minyak naik: Pengusaha bas tidak mungkin berdiam diri

28 Syawal 1434 H. [MOD] -

SHAH ALAM: Penguasa bas berkemungkinan akan menaikkan tambang sebanyak 10 peratus yang diumumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum ini walaupun tempoh kenaikan tersebut sepatutnya berakhir pada 8 September nanti.


Pengendali bas ekpress dan tambahan bagi perayaan Aidilfitri lalu dibenarkan menaikkan kos berkenaan dalam tempoh yang telah ditetapkan sehingga 8 Sepetember 2013.


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad tidak yakin penguasa bas akan berdiam diri serta mematuhi arahan tersebut kerana mereka terpaksa menanggung kos bahan api akibat kenaikan harga diesel sebanyak 20 sen seliter bermula 3 Sepetember lalu.


"Walaupun tempoh masa kenaikan tambang 10 peratus akan berakhir pada 8 September nanti, saya tidak nampak penguasa bas akan menurunkan harga.



"Kenaikan harga minyak diesel sebanyak 20 sen akan menjadi alasan mereka untuk mengekalkan harga tersebut dan berkemungkinan akan ada desakan untuk menaikkan lagi antara lima hingga sepuluh peratus," jelasnya pada sidang media di pejabatnya semalam.



Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) sebelum ini menuntut agar kerajaan meluluskan kenaikan tambang bas kepada 30 peratus bagi menampung kos operasi pada musim perayaan.


Beliau tidak menyalahkan tindakan penguasa bas jika mereka mendesak untuk menaikkan harga tetapi kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian terbaik dari keputusan menaikkan harga bahan api.
Katanya, kerajaan perlu pastikan hak rakyat terus terbela tanpa ada sebarang tekanan sara hidup melampau akibat pengumuman tersebut.


"Bukan hanya kadar kenaikan harga tambang akan dituntut, selepas ini lebih banyak lagi barang-barang keperluan akan dinaikkan harga.



"Rakyat akan terus hidup dalam tekanan akibat kos-kos barang keperluan yang tidak dapat dikawal oleh kerajaan," sambung beliau.



Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kecewa dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana terlalu lemah dan menekan hidup rakyat bagi tujuan menambah pendapatan negara sedangkan ketirisan dan rasuah dalam projek mega terus berleluasa.



Harakahdaily

Tiada ulasan: