10 Oktober 2013

Betapa tenatnya Umno, calon diisytihar muflis

5 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini digesa membuat penilaian yang rasional tentang betapa tenatnya Umno pada hari ini apabila calon-calon bagi pemilihan parti itu turut disenaraikan muflis oleh Jabatan Insolvensi.


Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, apa yang berlaku ini adalah manifestasi bahawa ternyata Umno memang bermasalah hasil daripada ramai calon mereka yang terpaksa melalui tapisan kerana muflis.

"Mereka (calon) yang menawarkan diri untuk memegang jawatan dalam parti merupakan mereka yang tidak layak dan berwibawa, sekali gus dijadikan pemimpin untuk generasi muda pada hari ini," katanya ketika ditemui di Pejabat Agung PAS hari ini.

Tambahnya, Umno tidak perlu lagi lantang untuk bercakap soal memperkasakan ekonomi Melayu sedangkan di kalangan mereka pun tidak mampu memelihara diri sendiri sehingga diisytihar muflis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas calon-calon pemilihan Umno pada kali ini diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi.

Seramai 33,272 calon disahkan bertanding merebut pelbagai jawatan pada pemilihan Umno bulan ini selepas 869 calon gagal melepasi saringan Jawatankuasa Pemilihan parti, termasuk 334 yang didapati muflis.

Selain itu, 1,369 daripada kira-kira 146,000 perwakilan yang telah dipilih, tidak layak kerana turut disenaraikan muflis oleh Jabatan Insolvensi.

Harakahdaily

Tiada ulasan: