10 Oktober 2013

PAS umum calon PRK Sg Limau 21 Okt

5 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: PAS Pusat menyenarai pendek lapan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau dalam mesyuarat jawatankuasa harian pusat pagi tadi.

Menurut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, calon-calon anak tempatan itu mempunyai pelbagai latar belakang dan dikemukakan oleh PAS Kedah dan PAS kawasan.

Calon-calon muka baru itu juga termasuk calon wanita, ujarnya pada sidang media di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Guru Abdul Hadi turut memaklumkan keputusan PAS untuk mengumumkan calon bertanding mewakili parti itu pada 21 Oktober ini.

Katanya, senarai yang diperolehi dari peringkat kawasan dan negeri itu akan diteliti bagi memastikan PAS dapat mengekalkan kemenangan serta meneruskan amanah yang ditinggalkan bekas Adun Sungai Limau yang juga mantan Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Razak.

"PAS akan mengumumkan calon pada 21 Oktober nanti bagi menghadapi PRK Sungai Limau, tempat akan dimaklumkan kemudian.

"PAS akan memastikan calon yang dikemukakan nanti mempunyai latar belakang yang bersih serta bebas dari segala kesalahan terutamanya rasuah," jelasnya.

Tambah beliau lagi, PAS sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi BN pada PRK itu dan yakin dengan persedian awal, PAS mampu mempertahankan kerusi tersebut.

"Kita telah bersedia dari awal bagi menghadapi pilihan raya kecil ini, segalanya telah diatur rapi.

"Kita yakin dengan persiapan dan persediaan ini, PAS mampu mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini," sambung beliau.

Sementara itu,  mesyuarat yang sama  turut memutuskan, Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga  Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar dilantik sebagai Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Sungai Limau.

Harakahdaily

Tiada ulasan: