23 Oktober 2013

DAP Mahu Jawatan Ketua Pembangkang Dinaik Setaraf Menteri Kabinet

18 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengiktiraf jawatan ketua pembangkang parlimen dengan menawarkan status bertaraf menteri kabinet.
Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming berkata, selain pengiktirafan rasmi, jumlah emolumen dan elaun yang dinikmati oleh anggota jemaah menteri perlu diberikan kepada ketua pembangkang.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan pengiktirafan itu ketika membentangkan Bajet 2014 pada Jumaat ini.
"Ketua Pembangkang juga perlu diberikan kakitangan pejabat yang cukup bagi membolehkannya menjalankan tugas dan memainkan peranan 'check and balance' ke atas kerajaan pusat secara efektif," katanya pada sidang media di lobi parlimen pada Rabu.
Menurut beliau, layanan kepada institusi ketua pembangkang di negara ini jauh ketinggalan berbanding negara lain yang mengamalkan sistem 'Westminister' demokrasi berparlimen yang sama.
Bukan saja tiada sebarang peruntukan, Nga berkata, malah pejabat ketua pembangkang hanya mempunyai tiga orang pembantu sahaja.
"Ini menyukarkan pembangkang menjalankan pemeriksaan ke atas kerajaan khususnya dibandingkan dengan Jabatan Perdana Menteri sahaja yang mempunyai beribu orang kakitangan dengan jumlah bajet pengurusan melebihi RM4.2 bilion setahun," katanya.
Di Britain, institusi ketua pembangkang diberi pengiktirafan rasmi, emolumen dan elaun yang setaraf dengan menteri, bezanya hanya 4%.
Di Australia, selain dari status menteri dan kakitangan tetap, ketua pembangkangnya diberi peruntukan tahunan serta pasukan petugas seramai 39 orang, begitu juga New Zealand dan Kanada.
Nga menambah, pihaknya menuntut kerajaan pusat mengamalkan sistem demokrasi yang lebih adil dengan mencontohi Selangor dan Pulau Pinang.
Di Selangor, ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri daripada Barisan Nasional (BN) diberi elaun tetap, pemandu, setiausaha kerja, kereta rasmi kerajaan dan lain-lain elaun berjumlah RM8,620 sebulan.
Manakala di Pulau Pinang, 10 Adun pembangkang daripada Umno diberi peruntukan untuk projek pembangunan kecil sebanyak RM40,000 setahun bermula tahun depan.
mStar/-

Tiada ulasan: