23 Oktober 2013

Pengundi sudah jangka Ustaz Azam jadi calon PAS


18 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Harakahdaily/-

JERAI: Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar melihat keputusan meletakkan Ketua Pemuda PAS Jerai, Mohd Azam Abd Samat sebagai calon bukan satu kesulitan kepada parti, malah ia merupakan pilihan terbaik yang dibuat oleh kepimpinan PAS.

Katanya kepada Harakahdaily, Azam merupakan seorang anak muda yang cukup dikenali penduduk setempat apatah lagi beliau adalah anak kepada seorang tokoh agama yang disegani di Sungai Limau.

"Bagi PAS pemilihan Azam sebagai calon bukan satu kesulitan tetapi merupakan pilihan terbaik dari PAS bagi menghadapi calon Barisan Nasional.

"Beliau merupakan seorang anak muda yang cukup dikenali serta disenangi penduduk setempat dan anak kepada tokoh agama setempat," jelasnya.

Katanya lagi, setelah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan Azam sebagai calon PAS pada PRK kali ini, pihaknya telah mendapat maklum balas positif dari penduduk setempat.

"Sebelum kita umum penduduk setempat telah tanya dan lapan puluh peratus telah mengatakan Azam akan dipilih sebagai calon.

"Apabila Presiden PAS mengumumkannya, hari ini kita telah mendapat maklum balas yang positif dan cukup baik dengan calon tersebut.

"Saya pasti Azam adalah calon yang dinantikan oleh penduduk Dun Sungai Limau bagi menggantikan Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak yang telah meninggalkan kita," kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Jelasnya, seramai lapan orang calon telah dikemukakan oleh PAS peringkat kawasan dan negeri dan semua merupakan individu yang layak serta berwibawa.

"Azam diterima oleh segenap lapisan kepimpinan PAS sama ada peringkat pusat mahu pun negeri. Apa yang penting rakyat lebih selesa dengan beliau.

"Saya melihat beliau mempunyai kebolehan untuk berucap, malah kebolehan beliau dalam bidang pendidikan turut mendapat pengiktirafan dari Kementerian Pelajaran Malaysia.

"Jadi kepada pengundi di Dun Sungai Limau bukan satu kerugian kepada mereka yang terus memilih Azam pada 4 November nanti," tambah beliau.

Dalam pada itu beliau juga turut memberitahu PAS telah membuat satu transformasi dalam politik baru apabila membawa suara anak muda dalam turut sama merubah lanskap politik di Kedah.

Katanya lagi, PAS juga turut membuktikan satu pelaksanaan baru dalam konteks kepimpinan politik masyarakat setempat apabila tokoh muda dijadikan satu momentum kepada generasi akan datan
g

Tiada ulasan: