19 Oktober 2013

UMNO 2013: Mesyuarat UMNO Bahagian seluruh negara bermula

14 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mesyuarat UMNO bahagian seluruh negara bermula pagi tadi membabitkan 146,500 perwakilan bagi memilih kepemimpinan parti termasuk tiga Naib Presiden dan 25 ahli Majlis Tertinggi (MT).


Mesyuarat bermula serentak di 191 bahagian jam 8 pagi dan mesyuarat akan ditangguh kemudian bagi memberi laluan kepada proses pemilihan itu.

Ketika proses pengundian, setiap perwakilan akan diberi dua set kertas undi untuk memilih pemimpin mereka di peringkat bahagian dan MT. 


Ini kali pertama anggota akar umbi diberi suara lebih besar dalam pemilihan Umno berikutan pindaan Perlembagaan parti pada 2009 ke arah menjadikan parti itu lebih telus, demokratik dan membasmi gejala politik wang. 



Kira-kira 146,000 anggota akar umbi diberi hak menentukan pimpinan peringkat bahagian dan saf tertinggi kepimpinan parti itu berbanding sebelum ini hanya 2,500 perwakilan menentukan nasib pemimpin Majlis Tertinggi semasa perhimpunan agung parti di ibu negara.



Selepas selesai proses pengundian, perwakilan akan menyambung semula mesyuarat mereka sementara proses pengiraan undi dijalankan.



Bagi memenuhi carta MT, sebanyak 71 calon akan bertanding merebut 29 kerusi jawatan yang dipertandingkan iaitu Timbalan Pengerusi Tetap (tiga calon), Naib Presiden (enam) dan anggota Majlis Tertinggi (62). 
Tumpuan hari ini pastinya kepada enam calon naib presiden iaitu tiga penyandang - Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal - yang akan berdepan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Mukhriz Mahathir.



Jawatan presiden dan timbalan presiden sebelum ini diisytihar menang tanpa bertanding apabila Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing tidak dicabar pada pemilihan kali ini.



Jawatan Pengerusi Tetap yang disandang Tan Sri Badruddin Amiruldin juga telah diumum menang tanpa bertanding. - BERNAMA

Tiada ulasan: