28 November 2013

Elaun naik, pastikan Adun jalan tugas dengan tenang

24 Muharram 1435H. [MOD] -
SHAH ALAM: Penyelarasan saraan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor dan anggota pentadbiran yang diluluskan semalam harus dilihat secara menyeluruh, kata Adun Kampung Tunku, Lau Weng San (gambar).

Katanya, elaun untuk Ketua Pembangkang juga bertambah dan kenaikan saraan itu adalah untuk memastikan ADN dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan hati yang tenang tanpa terlalu memikirkan ‘sumber-sumber pendapatan’ yang lain seperti apa yang berlaku semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).
“Penyelarasan saraan ini akan menjamin ADN sentiasa fokus kepada tugasnya dan tidak perlu risau tentang penyaraan kehidupan dan ahli-ahli keluarganya walaupun selepas bersara,” ujarnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 di Dewan Negeri Selangor, di sini semalam.

Beliau menceritakan pernah berlaku seorang Adun MCA yang menderita akibat diserang penyakit strok di Perak selepas bersara terpaksa merayu kepada kerajaan negeri itu kerana pinjaman perumahannya akan ditolak daripada pencennya dan menjadikan pencennya tidak mencukupi untuk menampung kos perubatannya.

Menurutnya, sememangnya menjadi pengetahuan umum bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat di Selangor menjadi semakin berat selepas Pilihan Raya Umum ke-13. 

Katanya, Ahli-ahli Dewan Negeri bukan sahaja perlu sentiasa turun padang untuk menyelesaikan masalah dan isu di kawasan masing-masing, tetapi juga perlu memainkan peranan yang aktif dalam Dewan Negeri Selangor.

“Perbahasan di Dewan ini juga semakin rancak. Baru semalam (kelmarin), perbahasan Belanjawan 2014 di peringkat jawatankuasa selesai selepas hebat diperbahas oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor selama dua hari berturut-turut,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam perbahasan selama dua hari itu, para ADN telah mengambil bahagian dengan begitu aktif dalam perbahasan. 

Pada kebiasaanya, kata beliau para ADN akan aktif membahas sesuatu belanjawan di peringkat dasar sahaja, tetapi kini kami bukan sahaja aktif di peringkat dasar tetapi juga sama aktif di peringkat jawatankuasa juga.

Ini, ujarnya menunjukkan bahawa dalam kesibukan para ADN menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing, mereka juga tidak melalaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka untuk membahas setiap satu butiran dalam Belanjawan 2014 ini.

Malahan, kata beliau Menteri Besar juga tidak kurang hebatnya apabila bangun dan duduk tidak kurang daripada 100 kali bermula daripada sesi soal jawab sehingga ke penangguhan Dewan untuk menjawab setiap soalan dan isu yang dibangkitkan oleh ADN.

“Oleh itu, saya ingin menyentuh dengan lebih banyak terhadap kenaikan saran yang melibatkan Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker kerana saraan untuk mereka telah dikekalkan pada paras yang amat rendah untuk satu tempoh yang sangat panjang,” katanya.

Justeru itu, ujar beliau sudah sampai masanya untuk menaikkan saraan mereka seperti apa yang dicadangkan oleh Rang Undang-undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) itu.

Setekah enakmen itu diluluskan, gaji Menteri Besar berjumlah RM14,175.15 bakal meningkat kepada RM29.250 iaitu pada kadar 106.4 peratus, Speaker Dewan (RM6.109.29 meningkat 268 peratus kepada RM22,500) dan Timbalan Speaker (RM3,327.50 kepada RM15,570).

Bagi saraan Ahli Exco Kerajaan Negeri pula, gaji RM6,109.29 bakal meningkat kepada RM20,250, meningkat 231 peratus.

Melalui Rang Undang-Undang yang diluluskan itu, saraan bagi setiap Adun mengikut Seksyen 3 juga dipinda, daripada RM6,000 kepada RM11,250 atau kenaikan 87.5 peratus.


Harakahdaily

Tiada ulasan: