IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (gambar) menyifatkan tindakan pembangkang mempertikaikan pelantikan dua bekas anggota DAP masing-masing sebagai Penyelaras Hal Ehwal Bukan Islam dan Penyelaras Masyarakat Penyayang, sebagai menunjukkan kebencian dan tidak puas hati mereka.
Beliau berkata semua pihak boleh membuat tafsiran berhubung pelantikan kedua-dua mereka yang juga merupakan bekas anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang sebelum bertindak menjadi wakil rakyat Bebas sebelum ini. "Ini tafsiran subjektif, siapa saja boleh mentafsir, sebarang pelantikan boleh ditafsir sebagai habuan...biar mereka (pembangkang) buat tafsiran," katanya kepada pemberita di luar persidangan DUN di sini, semalam.
Beliau mengulas mengenai pertikaian Adun Malim Nawar Leong Cheok Keng berhubung pelantikan itu, selain turut membangkitkan sama ada ia sebagai 'reward' (habuan) kerana mereka menyokong Barisan Nasional (BN).
Terdahulu, ketika membahaskan Bajet 2014 negeri, Leong (DAP-Malim Nawar) berkata pelantikan Keshvinder Singh dan Datuk Hee Yit Foong dibuat dalam keadaan yang luar biasa kerana setakat ini pembangkang tidak mengetahui pengumuman mengenai pelantikan tersebut sama ada oleh kerajaan negeri atau kerajaan Pusat.
"Kalau pelantikan jawatan itu adalah untuk memberi manfaat kepada rakyat, kepentingan awam, kenapa tiada apa-apa pengisytiharan umum dibuat mengenainya," katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pelantikan dua jawatan itu mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak atau peruntukan lain kerana jika tiada, maka ia boleh dikatakan di luar kuasa kerajaan atau pelantikan itu tidak sah.
"Kami pun tidak diberitahu sama ada jawatan-jawatan itu dibuka untuk permohonan, adakah mereka dikehendaki menjalani temuduga dengan pihak kerajaan, atau adakah orang lain juga mohon jawatan itu. Adakah ini semua 'black box operation' maksudnya tidak dikenali oleh orang awam," katanya.
Selain itu, Leong juga mempersoalkan sama ada imbuhan dan elaun yang diberi kepada kedua-dua penyelaras itu termasuk dalam peruntukan RM4 juta yang disediakan kerajaan negeri bagi menjalankan program berkaitan Hal Ehwal Bukan Islam atau kedua-duanya hanya bekerja secara percuma.
"Oleh yang demikian, orang mengesyaki ia adalah ganjaran politik selepas kejatuhan Pakatan Rakyat pada tahun 2009. Kontrak dan surat pelantikan perlu disebarkan kepada umum supaya tahu keistimewaan, kuasa dan bajet. Jika jawatan itu tidak diperlukan, ia perlu dihapuskan untuk menjimatkan duit rakyat," katanya.
Timbalan Speaker DUN, Datuk Nasarudin Hashim kemudian meminta Leong tidak tersasar daripada membahaskan Bajet 2014 negeri kerana persoalan itu akan dijawab semasa sesi penggulungan nanti.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan