01 November 2013

Akhbar: Nepal lebih telus berbanding Malaysia


27 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Selangorku,01 Nov 2013
SHAH ALAM: Nepal lebih telus dan terbuka kerana mempunyai 127 akhbar, berbanding Malaysia yang dilihat kurang memberikan kebebasan media.

Kerajaan Nepal percaya dengan memberikan kebebasan media mampu membawa kepada kemajuan mentaliti pemimpin dan rakyat negara Asia Selatan itu.

Walaupun Nepal masih dikategorikan sebagai negara dunia ketiga daripada segi pembangunan fizikal, tetapi mentaliti pemimpin negara itu dianggap lebih maju berbanding Barisan Nasional (BN).

Bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari berkata, hal itu dibuktikan apabila sehingga kini Nepal mempunyai 127 akhbar tidak termasuk akhbar yang diterbitkan peringkat negeri.

“Walaupun kita membangun dan mempunyai prasarana seperti negara maju tetapi mentaliti kerajaan masih di tahap negara dunia ketiga kerana mereka ingin mengawal media. Sebenarnya, semua kerajaan ingin kawal tanpa beri ruang kebebasan kepada media dan masyarakat,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Hatta turut mengutuk tindakan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan untuk menutup akhbar yang menerbitkan kenyataan beliau dalam satu program di Melaka, baru-baru ini.

“Ini kenyataan paling kurang ajar yang keluar daripada seorang pemimpin dan beliau mempunyai mentaliti dunia ketiga dengan beranggapan mempunyai kuasa dan boleh kawal kebebasan media. Pemimpin seperti ini kita kena tolak,” katanya.

Menyentuh kemenangan portal berita Malaysiakini dalam kes rayuan KDN yang menolak permit penerbitannya, Hatta berharap kemenangan itu akan menjadi contoh kepada media lain supaya berani menerbitkan media seimbang dan telus.

“Kemenangan Malaysiakini patut dijadikan contoh kepada media lain dan saya harap industri media kita lebih bebas serta maju,” katanya.

Tiada ulasan: