04 November 2013

Keluar PKR: Jeremy khianati rakyat Sabah


30 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan Adun Kadamaian, Jeremy Malazad mengisytiharkan melepas semua jawatan serta keluar daripada PKR hari ini tidak lain dan tidak bukan merupakan satu pengkhianatan besar kepada rakyat Sabah dan Malaysia. 

Sehubungan itu, PKR mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak beretika itu, tegas Naib Presiden parti itu, Tian Chua bagi pihak Setiausaha Agung dalam satu kenyataan malam ini.


Pada masa yang sama, jelasnya PKR akan menghantar surat tunjuk sebab kepada Adun Matunggong, Jelani Hamdan yang dipercayai turut merancang untuk mengkhianati amanah yang diberi rakyat Sabah.


“Kenyataan bahawa mereka berdua telah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti hanyalah satu helah dan alasan biasa bagi mengiakan langkah-langkah pengkhianatan mereka ini,” ujarnya.


Tambahnya, tindakan Adun lompat parti sebegini adalah modus operandi biasa Barisan Nasional di Sabah untuk cuba melemahkan semangat perjuangan rakyat yang menginginkan perubahan.


Oleh itu, tegasnya PKR menggesa rakyat Sabah untuk bersatu dan tidak membiarkan taktik Barisan Nasional itu memecah-belahkan semangat perjuangan dan reformasi, demi Sabah yang lebih baik.

Tiada ulasan: