19 November 2013

K'jaan disaran perkukuh undang-undang berkaitan BM

15 Muharram 1435H. [MOD] -
Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) menyarakan kerajaan memperkukuhkan undang-undang berkaitan penggunaan bahasa Melayu sebagai komunikasi seluruh rakyat Malaysia.

Melalui penguatkuasaan itu, Ketua Satu Gapena, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar yakin bahasa Melayu mampu diperkasakan sebagaimana dilakukan banyak negara seperti Jepun, Perancis, China dan Jerman.

"Bahasa Melayu mendapat tempat ke-5 antara bahasa seluruh negara (di) ranking antarabangsa. Saya tak nampak bahasa Melayu tidak boleh dimartabatkan sebagai bahasa perpaduan, bahasa komunikasi dan bahasa antarabangsa yang penting semangat pemimpin," katanya.

Dr Abdul Latiff percaya kekurangan rakyat Malaysia berkomunikasi dalam bahasa Melayu menjadi penyebab masalah integrasi kaum berlaku.

Justeru itu, sinonim slogan "Bahasa Jiwa bangsa", dalam konteks Malaysia, Dr Abdul Latiff menegaskan bahawa bahasa menjadi jiwa kepada sesuatu bangsa.

Katanya, bahasa Melayu sebagai perlambangan identiti rakyat Malaysia bukan hanya untuk bangsa Melayu sebaliknya seluruh warganegara.

Beliau berpendapat, rakyat perlu fasih akan bahasa Melayu agar perpaduan dapat diperkukuhkan.

'Sasterawan Negara tiada diskriminasi'
Sementara itu, Dr Abdul Latiff juga menafikan dakwaan terdapat diskriminasi dalam pemilihan Sasterawan Negara apabila setakat ini hanya penulis Melayu sahaja yang menerimanya.

"Asalkan dia rakyat Malaysia dia layak menerima anugerah-anugerah yang disediakan kerajaan bergantung kepada kelayakan," kata Dr Abdul Latiff.

Malaysiakini

Tiada ulasan: