19 November 2013

S'gor tubuh JK Khas bina 5,000 rumah mampu milik

15 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor meluluskan untuk menubuhkan badan khas bagi merealisasikan pembinaan 5,000 unit rumah mampu milik dalam masa terdekat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad, berkata badan khas terbabit akan diletakkan di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Mesyuarat Exco pada 13 November lalu meluluskan untuk  menubuhkan badan khas ini. Jadi hari ini saya mengumumkan penubuhan itu.

“Tugas utamanya ialah membina rumah mampu milik sahaja, kalau dulu kita harapkan kepada pemaju dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tetapi sekarang ia melalui Kerajaan Negeri sendiri,” katanya dipetik Selangorkini.

Projek merancakkan pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat menjadi agenda utama kerajaan negeri Selangor ke arah menunaikan janji manifesto pilihan raya lalu.

Menurut Iskandar, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kawasan tanah yang bakal dimajukan antaranya di Bangi dan Kuala Selangor.

Beliau memaklumkan projek pertama akan dimulakan pada Jun tahun hadapan.

Terdahulu beliau menyerahkan kunci kepada 160 pembeli rumah projek perumahan pangsapuri Andorra di Taman Sri Muda.

Prokjek itu sebelum ini adalah salah satu projek terbengkalai sejak 2005 yang berjaya diselesaikan oleh kerajaan negeri dibawah pakatan Rakyat.

Sementara itu, Iskandar memaklumkan projek itu mula dimajukan pada 2003 dan dijangka siap pada Disember 2015, namun akibat kelewatan dan masalah kewangan, projek itu terbengkalai.

Katanya, sejak Mac 2008 hingga 31 Oktober 2013, Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan sebanyak 42 projek terbengkalai yang membabitkan 19,958 unit.

Harakahdaily

Tiada ulasan: