25 November 2013

Ratusan ribu penunjuk perasaan berhimpun di Bangkok

21 Muharram 1435H. [MOD] -

BANGKOK 24 Nov. - Beratus-ratus ribu penunjuk perasaan anti dan prokerajaan mengadakan demonstrasi secara besar-besaran di sini hari ini, sebagai membantah dan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

Pihak berkuasa menganggarkan sekurang-kurangnya 440,000 penunjuk perasaan antikerajaan dan 30,000 yang prokerajaan atau Baju Merah berhimpun dalam demonstrasi tersebut.


Kedua-dua kumpulan itu berikrar untuk meneruskan demonstrasi sehingga malam ini.

Thailand berdepan dengan krisis politik terburuk sejak bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang juga merupakan abang kepada Yingluck digulingkan daripada kerajaan dalam rampasan kuasa oleh tentera pada 2006.

Bangkok sebelum ini digegarkan dengan beberapa demonstrasi oleh parti pembangkang iaitu Parti Demokrat yang membantah rang undang-undang pengampunan yang dilihat bakal membolehkan Thaksin pulang ke negara ini.

Bagaimanapun, Dewan Senat menolak rang undang-undang tersebut.

Ketua tunjuk perasaan kumpulan antikerajaan, Satit Wongnongtaey menggelar demonstrasi yang berlangsung di Monumen Demokrasi itu sebagai 'Hari Rakyat'.

Ketika berucap dalam demonstrasi tersebut, Satit mempersoalkan kemampuan kerajaan pimpinan Yingluck untuk terus memacu Thailand pada masa akan datang.

Sementara itu, polis berkata, penunjuk perasaan antikerajaan dijangka berarak ke Parlimen dan beberapa bangunan kerajaan sama ada lewat malam ini atau awal pagi esok, walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah dikuat kuasakan di beberapa kawasan penting.

"Pasukan keselamatan tidak akan digunakan bagi meleraikan perarakan ini dan kami juga akan cuba mengelakkan daripada berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini,'' kata jurucakap polis, Piya Utayo kepada AFP. - AFP

Tiada ulasan: