25 November 2013

Tukang Gunting Cedera Ditetak Dengan Kapak

21 Muharram 1435H. [MOD] -

GEORGE TOWN: Seorang tukang gunting rambut warga India cedera ditetak dengan sebilah kapak oleh pelanggannya, seorang lelaki tempatan dalam sebuah premis di Desa Mutiara Indah, Batu Maung, dekat sini, Sabtu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zain berkata dalam kejadian pukul 5.30 petang itu mangsa menggunting rambut suspek dan selepas selesai dia mendakwa rakannya akan datang membayar wang upah kepada mangsa.

"Bagaimanapun selepas menunggu selama 15 minit rakan yang dikatakan itu tidak datang sebaliknya suspek meminta wang kepada tukang gunting itu tetapi permintaannya tidak dilayan," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.
Berang dengan jawapan tukang gunting itu, suspek mengeluarkan sebilah kapak bersaiz kecil dan menetak kepala, bahu, tangan dan belakang badan mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.
Mangsa dikenali sebagai Semanathan, 30-an menerima lebih 30 jahitan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Pulau Pinang di sini.
Katanya polis menghadapi kesukaran untuk mengesan suspek kerana tiada saksi melihat kejadian itu selain premis berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup.Mohd Hatta berkata polis dalam proses melakar fotofit suspek. - BERNAMA

Tiada ulasan: