03 November 2013

SPR jangka 90 peratus keluar mengundi

29 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Lebih 90 peratus daripada 27,222 pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dijangka keluar mengundi esok berbanding 89 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata kadar peratusan yang positif itu berdasarkan kepada semangat yang dilihat sepanjang tempoh berkempen yang berkonsepkan kekeluargaan.

"Kempen PRK DUN Sungai Limau lebih mesra keluarga, tenang dan aman. Peningkatan kadar mengundi adalah kerana semangat setia kawan dan kekeluargaan," katanya kepada pemberita selepas menyemak peti dan peralatan undi, di Dewan Dato' Madi, di Yan hari ini.

Abdul Ghani berkata daripada 27,222 pengundi, tiga daripadanya ialah undi pos membabitkan seorang pelajar di Mesir dan dua orang yang bekerja masing-masing di Permatang Pauh dan Sabah.

Katanya sebanyak 499 pegawai SPR, 116 anggota polis serta 58 ketua tempat mengundi (KTM) terlibat semasa hari pengundian esok, yang membabitkan 58 saluran dan 17 tempat mengundi.

"KTM akan mengambil peralatan untuk hari mengundi ke lokasi masing-masing, manakala dakwat kekal dan kertas undi akan tinggal di dewan sehingga 6 pagi esok. Polis akan mengawal peralatan itu dan dewan akan disita supaya tidak dicerobohi mana-mana pihak," kata Abdul Ghani.

Beliau turut menasihati pengundi untuk keluar secara berperingkat mulai 8 pagi hingga 5 petang serta membawa bersama kad pengenalan dan memeriksa tempat mengundi masing-masing.

Abdul Ghani berkata SPR menjangka keputusan PRK DUN Sungai Limau akan diketahui selewat-lewatnya 10 malam esok dan pusat penjumlahan undi adalah di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan.

Bernama

Tiada ulasan: