19 Disember 2013

Kalau AES boleh ambil, kenapa tidak konsesi tol?

15 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Jika kerajaan boleh mengambilalih pengendalian Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), mengapa kerajaan tidak boleh mengambilalih syarikat-syarikat konsesi tol, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.


"Jika kerajaan Barisan Nasional (BN) benar-benar serius mahu membantu rakyat daripada tekanan kenaikan tol, mengapa tidak ambilalih pengendalian tol dari syarikat-syarikat yang diberikan konsesi seperti yang dilakukan ke atas pengendalian AES?

"Jika kerajaan ambil alih, tidak timbul lagi soal perjanjian atau apa sahaja yang menjadi alasan kerajaan untuk membenarkan kenaikan tol," kata beliau.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, kenaikan kadar tol yang dijangka berlaku tahun hadapan tidak dapat dielakkan memandangkan perkara itu terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya.

Bagi Mahfuz, hujjah kerajaan itu tidak boleh diterima memandangkan badan-badan kerajaan seperti  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pemegang saham utama hampir kesemua syarikat konsesi tol.

"Dengan pegangan sedemikian besar, kerajaan boleh mencari jalan untuk mengelakkan kenaikan tol. Perjanjian itu bukannya al-Quran sehingga tidak boleh disemak semula kewajarannya," kata beliau.

Mahfuz juga menolak alasan kononnya tindakan menghalang kenaikan tol akan mengurangkan jumlah dividen yang bakal diterima pencarum KWSP yang mempunyai pegangan besar dalam syarikat-syarikat tol.

"Alasan itu tidak boleh digunakan untuk mewajarkan tekanan syarikat-syarikat konsesi tol ke atas rakyat. Bukan semua rakyat menjadi pencarum KWSP.

"Malah bagi rakyat yang menjadi pencarum KWSP pun, tol yang mereka bayar jauh lebih banyak dari dividen yang mereka terima," kata beliau.

Bagi Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kerajaan BN kelihatan tidak mahu bertanggungjawab melindungi rakyat daripada tekanan syarikat-syarikat konsesi tol yang hampir kesemua dilaporkan membuat untung besar setiap tahun.

"Walaupun ada Akta Persaingan 2010 yang kononnya hendak menghalang amalan-amalan perdagangan tidak adil, tetapi nampaknya ia tidak relevan langsung untuk melindungi rakyat dari tekanan syarikat-syarikat konsesi tol," katanya.

Ditanya mengenai janji manifesto BN menjelang pilihan raya umum yang lalu yang berjanji untuk "mengurangkan bayaran tol antara bandar secara berperingkat," Mahfuz terus menjawab: "BN dan bohong berpisah tiada".

"Pembohongan bukan sahaja menjadi cara hidup Umno dan BN malah mereka juga mempunyai sikap yang sangat buruk terhadap rakyat.

"Contohnya, baru-baru ini dengan angkuh sekali Abdul Wahid menyuruh rakyat yang tak mahu membayar tol menggunakan jalan biasa.

"Ini sebenarnya trend menghina rakyat yang sudah menjadi cara hidup Umno. Kalau harga ayam naik, jangan makan ayam. Harga rumah naik, jangan beli rumah. Harga tol naik, jangan guna jalan yang ada tol dan lehatlah nanti, trend menghina rakyat ini akan berulang lagi dan lagi," katanya.

Abdul Wahid baru-baru ini berkata pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya mengganggap kenaikan tol terlalu tinggi.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, kenaikan tol pada tahun hadapan adalah munasabah.

"Kami sediakan jalan alternatif kepada mereka sedia bayar dengan kadar premium.

"Bagi mereka yang fikirkannya ia terlalu mahal, mereka ada pilihan untuk tidak gunakan jalan tersebut," katanya.


Harakahdaily

Tiada ulasan: