08 Disember 2013

Mangsa banjir Terengganu meningkat

4 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU:  Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Terengganu meningkat kepada 22,391 orang pagi ini berbanding 22,040 orang malam tadi.

               
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara peningkatan itu berlaku di daerah Dungun apabila 360 lagi mangsa dipindahkan, menjadikan kesemuanya 3,764 orang daripada 936 keluarga berbanding 3,402 orang daripada 837 keluarga sebelum ini.

               
Tiada peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan di Kemaman iaitu 18,576 orang daripada 4,177 keluarga, Kuala Terengganu enam orang daripada satu keluarga, Marang 26 orang daripada lapan keluarga dan Hulu Terengganu 19 orang daripada empat keluarga.
               
Sementara itu, bilik gerakan banjir Jabatan Kerja Raya negeri melaporkan semua jalan utama antara Kuala Terengganu-Kota Baharu dan Kuala Terengganu-Kuantan boleh dilalui semua kenderaan.
               
Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran pula pada umumnya paras air di semua sungai utama di Terengganu berada di bawah paras bahaya pagi ini. 

- Bernama

Tiada ulasan: