01 Disember 2013

Pasca Muktamar: Kabinet rahmat untuk semua

27 Muharram 1435H. [MOD] -
MUKTAMAR PAS ke-59 telah seminggu berlalu. Senarai kepimpinan utama PAS Pusat, dewan-dewan telah diumumkan. Bagi PAS Pusat, Presidennya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diputuskan oleh muktamar sebagai menang tanpa bertanding. Sementara jawatan utama yang lain diputuskan melalui pertandingan.


Bagi jawatan Timbalan Presiden, keputusan muktamar telah mengekal penyandang Haji Mohamad Sabu dan Naib Presiden turut mengekalkan Haji Salehuddin Ayub dan Haji Husam Musa di samping menyaksikan kembalinya Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man ke jawatan Naib Presiden.
Sementara untuk pemilihan 18 anggota jawatankuasa kerja, muktamar turut memutuskan tokoh baru turut terpilih iaitu Ustaz Nasrudin Hassan dan Ustaz Nik Mohamad Abduh serta Dr. Ridhuan Mohd Nor. Mereka bertiga adalah bekas ketua dan timbalan ketua serta ketua penerangan Pemuda PAS Pusat.


TAHNIAH
Sementara sekalung tahniah untuk Dewan Ulama PAS Pusat kerana berjaya sebulat suara mengekalkan kesemua pimpinan tanpa bertanding. Di samping menyaksikan penglibatan ulama pelapis seperti Ustaz Mohd Asri Daud yang merupakan penerima anugerah tokoh ulama muda Negeri Kelantan.
Tidak ketinggalan, tahniah juga untuk Dewan Pemuda kerana mendapat pimpinan baru menerusi ketuanya Suhaizan Kaiat. Sementara Dewan Muslimat telah membuktikan kemantapan Siti Zailah Mohd Yusoff selaku ketua bersama-sama timbalan dan naib ketuanya telah dikekalkan mandate oleh perwakilan muktamarnya.
Tinggal lagi, akan berlaku perlantikan beberapa jawatan eksekutif untuk pasukan presiden dan ketua dewan-dewan membina saf yang padu menjalankan amanah parti. Ia sedang dirundingkan di kalangan penjawatan utama (yang terpilih di dalam muktamar) bagi memastikan siapa yang bakal menggalas tugas setiausaha dan penolong setiausaha, ketua penerangan, bendahari dan ketua pengarah atau pengarah pilihan raya.
Menurut fasal 25 (4) perlembagaan PAS untuk PAS Pusat, Presiden berkuasa melantik mana-mana pimpinan PAS bagi mengisi jawatan-jawatan tersebut, dan perlantikan itu hendaklah dipersetujui oleh mesyuarat. Demikian pula di peringkat dewan-dewan (fasal 45 (3) – Ulama, fasal 55 (3) – Pemuda, fasal 65 (3) – Muslimat) juga memperuntukkan kuasa untuk ketua melantik mana-mana pemimpin di dalam mesyuarat.

KUASA KHAS
Oleh kerana ini, presiden dan ketua-ketua dewan mempunyai kuasa khas, sementara ahli mesyuarat pula mempunyai kuasa terhormat untuk bersetuju di atas nama-nama yang dicadangkan oleh presiden atau ketua dewan. Berbekalkan semangat berjamaah, persetujuan perlantikan adalah amalan syura yang matang (tuntas) demi membuktikan misi ucapan dasar presiden dalam muktamar lalu diterima baik demi ‘rahmat untuk semua’ ahli PAS dan pelbagai lapisan masyarakat.
Sebagaimana diucapkan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi dalam menyampaikan ucapan dasar muktamar lalu, “Semua pihak dalam Dewan, Lajnah, Badan Perhubungan PAS Negeri dan Wilayah serta Kawasan mestilah mempunyai kefahaman yang jelas terhadap tema ”RAHMAT UNTUK SEMUA”, dan seterusnya bertindak merangka perancangan dan strategi pelaksanaan agar intipati ini dapat berada dalam masyarakat dan difahami bahawa dasar Islam ini dibawa oleh PAS. Jadikanlah tema ini sebagai sesuatu yang benar bernafas, bukan sekadar slogan kosong yang sedap didengar sebagai halwa telinga untuk Muktamar semata-mata.”
Justeru kandungannya merupakan disilplin jamaah dan suatu pengarahan jitu demi meletakkan perjuangan PAS di terima masyarakat. Hasrat ini bagi memastikan PAS berwadah Islam terus mara sebagai pembicara ummah dalam meraih rahmat Allah untuk segenap lapisan masyarakat. Di atas asas inilah, pembentukan saf kepimpinan PAS Pusat bagi menggalas tugasan sesi 2013 sehingga 2015 pastinya membutuh nilai-nilai berkepimpinan yang berupaya memenuhi citra perjuangan yang sebenar. Terutama dalam memperdanakan PAS dalam Pakatan Rakyat. Sekaligus memenuhi ssikap Tuan Guru Priseden yang mahukan PAS berperanan besar bukan sekadar penumpang dalam arena politik tanah air mahu pun Pakatan Rakyat.

BERKONGSI KUASA
Komitmen politik (mencapai kuasa) dan pendekatan dakwah (memastikan rahmat) adalah serasi dengan misi meletakkan PAS mampu bersaingan dalam kuasa yang ada di Kelantan dan berkongsi kuasa di Pulau Pinang dan Selangor. Di samping terus membina keyakinan bagi merapatkan jurang dengan pengundi Islam dan Melayu, terutama di Johor dan Pahang serta berupaya mengembalikan dominasi di Kedah serta beberapa negeri lain termasuk di Sabah dan Sarawak.
Demikian pula, peranan pengimbang gerakan politik dakwah PAS adalah Ulama, Pemuda, Muslimat dan Himpunan Penyokong sewajarnya memantapkan matlamat dan strategi masing-masing dengan pembinaan saf yang berpaksikan akhlak baik dan ilmu yang cukup. Semoga PAS terus kekal pembawa sinar Islam yang sentiasa merahmati ummah.

Harakahdaily

Tiada ulasan: