30 Disember 2013

Pemuda PAS Perak dikerah ke Himpunan TURUN

26 Safar 1435H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak bersama dan menyahut seruan yang dibuat oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat agar seluruh anak muda menyertai himpunan Gerakan Turunkan Kos Sara Hidup (TURUN) pada malam 31 Disember 2013 ini bagi membantah kenaikan harga barang. Seruan itu dibuat bagi menunjukkan solidariti terhadap lebih kurang 27 juta rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya bakal menerima kesan buruk hasil kenaikan kos sara hidup yang amat mendadak ini.

Selaku organisasi yang berada di bawah Pemuda PAS Malaysia, adalah menjadi kewajipan bagi seluruh jentera pemuda di negara ini bersatu di bawah satu arahan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia. Ini sekaligus membuktikan bahawa anggota Pemuda PAS di seluruh negara sebulat suara menyokong usaha untuk mendesak kerajaan melakukan sesuatu bagi memastikan kenaikan harga barang dan perkhidmatan tidak berlaku sebagaimana yang diura-urakan.

Untuk itu, seluruh anggota Dewan Pemuda PAS di kawasan-kawasan seluruh Negeri Perak dikerah untuk turun beramai-ramai ke Himpunan TURUN pada 31 Disember 2013 ini. Perlu ditegaskan bahawa himpunan yang dirancang ini tidak sekali-kali bertujuan untuk menggulingkan kerajaan sebagimana yang diwar-warkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Dakwaan sebegini adalah karut dan bertujuan semata-mata untuk menutup isu sebenar iaitu kenaikan tol yang cukup membebankan rakyat.

Kami juga ingin mencabar Pergerakan Pemuda Umno untuk menyatakan pendirian secara rasmi adakah mereka bersetuju dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan khususnya kadar tol? Pemuda Umno diseru jangan berselindung di sebalik dakwaan-dakwaan palsu kononnya himpunan TURUN bertujuan menggulingkan kerajaan semata-mata kerana ingin mengalihkan isu. Sikap ini merupakan sikap pengecut dan melambangkan Pemuda Umno tidak mempunyai jatidiri dan pendirian yang jelas.


DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Tiada ulasan: