31 Disember 2013

Perarakan pembangkang lumpuhkan Dhaka

27 Safar 1435H. [MOD] -

DHAKA, 31 Dis - Ibu negara Bangladesh terputus hubungan dengan bahagian-bahagian lain di negara ini, semalam dengan perkhidmatan pengangkutan ke Dhaka terhenti masuk hari kedua, berikutan perarakan yang diadakan sebagai protes terhadap pilihan raya yang akan diadakan pada minggu depan.

Dengan ketua pembangkang, Khaleda Zia dikenakan tahanan di rumah sejak Rabu lalu, Persuruhjaya Tinggi Britain ke Bangladesh menjadi diplomat pertama bertemu dengan beliau, sehari selepas polis menghalang beliau meninggalkan kediamannya untuk berucap pada satu perhimpunan.

"Robert Gibson menemui Zia di kediamannya di Gulshan," kata seorang jurucakap Kedutaan Britain kepada AFP, dengan anggota polis berkawal di luar kediaman Zia di Dhaka.

Dengan keganasan tercetus di beberapa tempat di negara ini mengakibatkan seorang terbunuh, perkhidmatan bas, feri dan kereta api sekali lagi digantung, dan sekatan jalan diadakan di ibu negara bagi menghalang penyokong pembangkang memasuki Dhaka untuk menyertai perarakan itu.

Pembangkang dan sekutu mereka telah melancarkan perarakan itu dengan harapan dapat menarik penyertaan sejuta penduduk menuju ke tengah Dhaka, sebagai percubaan terakhir mereka untuk mendesak
Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletakkan jawatan dan membatalkan pilihan raya yang dijadual diadakan pada 5 Januari ini. - AFP

Tiada ulasan: