07 Januari 2014

2013: Dadah bernilai RM402.73 juta dirampas

5 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM402.73 juta sepanjang tahun lepas.    

Pengarahnya Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata rampasan itu ialah 11.32 tan pelbagai jenis dadah narkotik, 42,718 liter dadah cecair dan 1.12 juta biji pelbagai jenis dadah sintatik dan enam batang pokok ganja.
    
Nilai rampasan dadah pada tahun lepas menunjukkan peningkatan sebanyak 6 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM381.09 juta, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Beliau berkata sepanjang tahun lepas juga sebanyak 175,198 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan kes dadah berbanding 171,649 tangkapan pada 2012.
    
Polis juga membongkar sebanyak 34 makmal memproses dadah dan menangkap 135 orang berkaitan kes pemerosesan dadah tahun lepas, katanya.
   
"Jumlah ini meningkat berbanding tahun 2012, iaitu sebanyak 32 makmal haram dibongkar dengan tangkapan seramai 114 orang," katanya.
    
Noor Rashid berkata polis juga melakukan 14,228 serbuan dan menahan sebanyak 14,896 orang atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah sepanjang Ops Cantas Khas JSJN tahun lepas.
     
"Hasil daripada operasi berkenaan, JSJN merampas sebanyak 835 kilogram dadah, 11,845 liter dadah jenis cecair dan 137,724 biji pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM30.82 juta," katanya.
    
Terdahulu, Noor Rashid menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Pengarah (Perlucuthakan Harta/Tahanan/Perundangan) Senior Asisten Komisioner Jamaluddin Kudin kepada Deputi Komisioner Datuk Rodwan Mohd Yusof.
    
Jamaludin pula menerima tugas sebagai Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am) daripada Datuk Razali Ab Razak yang dilantik sebagai Timbalan Komander bagi Special Tactical Intelligence Narcotic Group (STING), unit baharu di JSJN. - Bernama

Tiada ulasan: