15 Januari 2014

Ada peneroka pendapatan hanya RM119 sebulan

13 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

GUA MUSANG: Kini selepas 58 tahun Felda diwujudkan, impian Tun Razak masih terkapai-kapai. Tidak semua peneroka menikmati perubahan hidup seperti diimpikan.

Masih ada peneroka berada di bawah garis kemiskinan, lebih-lebih lagi peneroka Kesedar. Rumah lama berdinding papan dan gelegar kayu masih banyak dilihat termasuk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lebir, Gua Musang.


Lebir berada di bawah pengurusan Kesedar. Mengapa situasi itu masih berlaku, sedangkan tujuan asal diwujudkan Kesedar membantu meningkat ekonomi penduduk.

Penyelia Parlimen Gua Musang, Ustaz Azman Ahmad memberitahu masih ada peneroka Kesedar di Paloh mendapat pendapatan sekitar RM119 sebulan.

“Cuba bayangkan dengan pendapatan sebanyak itu bagaimana keluarga peneroka terbabit hendak hidup. Jauh di bawah garis kemiskinan tegar.

“Kami menemui kes-kes seumpama itu hasil lawatan Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) ke Gua Musang baru-baru ini,” katanya di sini.

Lawatan tersebut diketuai Presiden Anak, Mazlan Aliman. Hadir sama Penyelia Dun Galas, Ustaz Abdullah Husain, Penyelia Dun Paloh, Noraini Husin.

Azman yang juga Pengerusi Anak Cawangan Kelantan berkata, keluarga terbabit tinggal di rumah asal sejak 30 tahun lalu.

“Kami menyampaikan sumbangan kepada peneroka terbabit dan beberapa lagi peneroka lain yang agak dhaif. Kehidupan peneroka Kesedar lebih sukar berbanding peneroka Felda,” ujarnya.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: