Sandakan: Niat seorang lelaki melaram kereta baru dicurinya tidak kesampaian apabila dicekup tidak sampai lima jam selepas melakukan jenayah itu, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang, suspek berusia 23 tahun itu dikesan berada di Ranau, kira-kira 200 kilometer dari lokasi kenderaan berkenaan dilaporkan hilang.
Susulan maklumat itu, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau bertindak mengejar kereta terbabit sebelum suspek gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu terbabas dan berjaya dicekup di Kilometer 56, Jalan Ranau-Tamparuli.
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, suspek ditahan kurang lima jam selepas mangsa membuat laporan polis.
“Mangsa mendakwa kereta PERODUA Kancil miliknya hilang kira-kira jam 1.30 tengah hari di Batu 8, Sandakan.
“Sebaik menerima laporan, sepasukan anggota ditugaskan mengesan kereta mangsa sebelum dimaklumkan kenderaan berkenaan dilihat berada di Ranau.
“Hasil tindakan pantas, suspek dikesan dan ditangkap,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Rowell berkata, polis bertindak mengejar kereta itu berikutan suspek yang berasal dari Kota Kinabalu itu enggan memberhentikan kenderaan dan cuba melarikan diri.
“Namun, suspek gagal mengawal kereta sebelum terbabas lalu dicekup.
“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.
Difahamkan, mangsa meletakkan kenderaannya di hadapan sebuah premis di Batu 8, Sandakan sebelum menaiki kenderaan rakannya untuk makan tengah hari di tempat lain.
myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan