04 Januari 2014

Majlis Fatwa disaran kaji kedudukan Harussani

2 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS menggesa agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan mesyuarat khas bagi mengkaji kedudukan Mufti Perak, Tan sri Harussani Zakaria berhubung 'fatwa' beliau yang dilihat bertentangan dengan Islam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi Harakahdaily berkata jika benar 'fatwa' tersebut dikeluarkan mufti itu, jelas mengelirukan pelbagai pihak yang boleh  menimbulkan ketegangan dan kekecohan.

"PAS hari ini menggesa agar Jawatankuasa Fatwa memanggil segera mufti-mufti di seluruh negara menghadiri menyuarat khas bagi membincangkan kedudukan Harussani sebagai Mufti Perak berhubung dengan fatwa yang telah dikeluarkan.

"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh peringkat tertinggi Jawatankuasa Fatwa kerana apa yang diperkatakan oleh beliau telah mengelirukan pelbagai pihak sehinggakan dapat menimbulkan ketegangan yang melampau," jelasnya.

Beliau yang turut menegaskan Majlis Fatwa tidak lagi boleh bertolak ansur dalam soal kedudukan Harussani sebagai mufti kerana terlalu banyak fatwa yang dikeluarkannya sebelum ini yang telah menimbulkan salah faham kepada masyarakat Islam di negara ini.

"Penting dan segera itu yang perlu dilakukan oleh Majlis Fatwa, saya tidak mahu ada pihak yang terpengaruh dengan fatwa tersebut akan bertindak dan menyebabkan berlakunya pertumpahan darah.

"Selain bertindak atas kedudukan Harussani, Majlis Fatwa juga perlu mengeluarkan kenyataan berhubung apa yang telah dinyatakan oleh Mufti Perak itu agar rakyat kembali tenang dan tidak terpengaruh," sambung beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau yang berpendapat keputusan segera dari Majlis Fatwa itu akan mengembalikan imej Majlis Fatwa dan Jabatan Mufti peringkat negeri dari terus dipandang serong oleh rakyat sepertimana berlaku kepada institusi kehakiman sebelum ini.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: