18 Januari 2014

Potong bajet pendidikan bunuh impian ribuan anak peneroka

16 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Ura-ura pemotongan peruntukan tahunan Kolej Felda daripada RM16 juta kepada hanya RM5 juta akan “membunuh impian” ribuan anak peneroka di seluruh negara dan menimbulkan persoalan terhadap fokus utama Yayasan Felda bagi meningkatkan aspek kebajikan, latihan dan pendidikan generasi Felda, tegas Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.


Mengulas laporan The Malaysian Insider berhubung cadangan pengurusan Felda itu, Mazlan berkata, visi Yayasan Felda sebagai peneraju utama pelaksana tanggungjawab sosial peneroka Felda akan dipersoalkan umum jika peruntukan tahunan empat Kolej Felda itu dipotong.  

Menurut sumber, pemotongan bajet itu akan mengakibatkan Kolej Felda yang terletak di Kelana Jaya (Selangor), Trolak (Perak), Mempaga (Pahang) dan Raja Alias (Negeri Sembilan) akan ditutup.
Kolej Felda dibangunkan untuk memberi peluang latihan kepada anak peneroka di bidang vokasional. Institusi itu diletakkan di bawah seliaan Yayasan Felda yang dipengerusikan Tan Sri Isa Samad. Pengarah Besar Felda, Dato' Faizoull Ahmad ialah salah seorang Ahli Lembaga.

Mengulas lanjut, Mazlan mempersoalkan ura-ura Felda mengurangkan bajet kebajikan, latihan dan pendidikan masyarakat peneroka tetapi menerusi instrumen perniagaannya bertindak membeli hotel, apartment mewah, ladang dan melabur dengan jumlah ribuan juta ringgit.
“Semua itu dibuat dengan cepat tetapi untuk pendidikan anak peneroka yang jumlahnya begitu kecil pun berkira?” kesalnya.

Menurut Mazlan, projek usahasama pendidikan Felda dengan Universiti Lim Kok Wing memakan belanja berkali ganda berbanding Kolej Felda namun keberkesanannya tidak pernah disemak.
Sehubungan itu beliau hairan mengapa Kolej Felda yang cuma ada di Kelana Jaya, Trolak, Mempaga dan Raja Alias mahu diganggu?

“Mana dia pembangunan modal insan yang acapkali di sebut oleh Faizoull Ahmad? Apa gunanya MOU dengan Kolej West Cheshire & Universiti Chester yang di war-warkan lanjutan daripada Kolej Felda?” soal beliau.

Perkembangan terbaru ini, ujar Mazlan mengingatkan beliau kepada kertas cadangan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia yang menyebut secara jelas bahawa Felda akan mengurangkan fokus terhadap pembangunan sosial.
“Hujahnya, FGVH adalah syarikat senaraian awam yang berteraskan perdagangan. Ia bukan lagi terikat kepada perkhidmatan seperti mula-mula (Felda) ditubuhkan.
“Saya berpandangan inilah kesan-kesan yang menjadi malapetaka kepada warga Felda khususnya anak-anak peneroka yang dahagakan kursus dan latihan kemahiran.

“Saya tidak tahu apa yang bermain dalam fikiran Isa Samad dan Faizoul Ahmad. Saya mengharapkan mesyuarat Lembaga Pengarah Felda minggu depan, bukan memotong bajet untuk Kolej Felda, tetapi peruntukan ditambah sebanyak mungkin,” ujarnya.
Mazlan juga menggesa supaya insentif untuk anak-anak Felda yang berjaya ke IPTA, peruntukan tiusyen percuma untuk UPSR/SPM dan pembangunan MRSM Felda di Trolak ditingkatkan agar lebih ramai generasi Felda beroleh manfaat.

“Saya amat berharap Isa Samad, Faizoull Ahmad dan Ahli Lembaga Pengarah Felda waras dalam membuat perkiraan dan pertimbangan. Jangan lupa sejarah panjang bagaimana Felda dibangunkan. Kesilapan dalam membuat keputusan, kesannya amat dalam,” nasihat Mazlan.
Dalam perkembangan berkaitan, usaha The Malaysian Insider untuk mendapatkan komen Faizoull telah ditolak walaupun sebelumnya beliau bersetuju untuk ditemui. 

Harakahdaily

Tiada ulasan: