16 Januari 2014

P'raya Thailand diteruskan, protes tingkat desakan

14 Rabiul Awal 1435. [MOD] -

Pilihan raya umum Thailand akan diadakan pada 2 Februari seperti dijadual kerana kerajaan sementara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai bidang kuasa untuk menangguhkannya, kata Perdana Menteri kerajaan sementara Yingluck Shinawatra.
    
Keputusan itu dipersetujui majoriti perwakilan parti-parti, kerajaan, akademik dan tentera selepas mesyuarat selama dua setengah jam bagi menimbangkan cadangan SPR untuk menangguhkan pilihan raya itu, katanya.

Mesyuarat yang berlangsung di ibu pejabat Tentera Udara Diraja Thailand itu tidak dihadiri dua lagi peneraju dalam kemelut politik semasa, iaitu Parti Demokrat yang merupakan parti pembangkang utama yang memboikot pilihan raya itu dan Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) yang kini mengetuai protes  jalanan untuk memaksa Yingluck meletak jawatan dan menangguhkan pilihan raya.
    
SPR mahu pilihan raya ditangguhkan kerana masalah di beberapa pusat pengundian, tetapi majoriti perwakilan parti-parti politik hari ini menggesa SPR menjalankan tugasnya untuk memastikan pilihan raya diteruskan.
    
SPR menyatakan terdapat masalah di 24 pusat pengundian di 15 provinsi di selatan.
    
Tiada staf setempat yang berani bertugas di pusat-pusat pengundian kerana mereka takut dengan tindakan peserta protes di kawasan itu yang membantah pilihan raya, kata Setiausaha Agung SPR Phuchong Nutrawong.
    
"Di banyak provinsi (15 provinsi di selatan Thailand), tiada seorang pun staf untuk bekerja di pusat pengundian," katanya kepada mereka yang menghadiri mesyuarat itu, mengenai kesulitan dihadapi SPR untuk memastikan pilihan raya berjalan lancar.
    
Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Jeneral Nipat Thonglek pula memberi jaminan pihak tentera bersedia membantu SPR dari segi staf, tempat dan peralatan bagi pilihan raya umum.
    
Sementara itu, peserta protes meneruskan bantahan mereka semalam dan dijangka akan meningkatkan desakan terhadap kerajaan sementara.
    
Kalangan penuntut dan Rangkaian Rakyat Bagi Pembaharuan Thailand sudah mengumumkan rancangan untuk menutup Bursa Saham Thailand dan pejabat  Aeronautical Radio of Thailand sekiranya Yingluck tidak meletak jawatan.
    
Sekiranya mereka meneruskan rancangan untuk menutup pejabat Aeronautical Radio of Thailand, ia akan menjejaskan penerbangan domestik dan antarabangsa serta pesawat yang melalui ruang udara Thailand.
    
Perhimpunan besar-besaran diadakan semalam di beberapa kawasan membabitkan jarak beberapa kilometer termasuk di hadapan pejabat Bernama di Tai Ping Towers Condominium di kawasan Ekkamai, kawasan komersil dan perumahan yang menjadi tumpuan warga asing.
    
Peserta protes turut menuntut agar pembaharuan dilakukan sebelum pilihan raya diadakan dan rasuah dihapuskan.
    
Mereka turut melaungkan slogan-slogan mengutuk Yingluck dan abangnya, bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.

- Bernama

Tiada ulasan: