17 Januari 2014

Referendum Mesir hambar, kudeta didakwa menipu

15 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KAHERAH: Ikhwan Muslimin semalam membuat kenyataan menolak keputusan pungutan suara bagi meminda perlembagaan negara itu.


Mereka melalui Gabungan Kerjasama Kebangsaan Bagi Menentang Rampasan Kuasa, berkata pihaknya tidak akan mengiktiraf apa-apa keputusan berkaitan sepertimana tindakan-tindakan yang dilakukan oleh kudeta sebelum ini kerana menganggap kerajaan Mesir hari ini tidak sah.

Menurut mereka, hasil kajian yang dillakukan mendapati hari akhir pungutan suara iaitu 15 Januari lalu menyaksikan sambutan hambar dari kalangan rakyat awam dan jumlah mereka tidak melebihi hanya 8% dan seakan-akan tiada pengundi pada waktu petangnya.

Pihak mereka meyakini, kudeta akan melakukan penipuan dalam pengumuman keputusan berdasarkan bilangan mereka yang keluar mengundi terlalu sedikit yang tentu memberi tamparan hebat kepada mereka.

Sejak dari awal, majoriti rakyat Mesir menyatakan bantahan terhadap kudeta, dan mereka memboikot pungutan suara yang diadakan.

Media-media pro kudeta bagaimanapun didakwa cuba menipu dengan menyiarkan gambar-gambar lama ketika pungutan suara pada 2012  bagi menampakkan ramai rakyat keluar mengundi.

Semalam, media kudeta turut melaporkan peratusan yang ramai keluar mengundi dan majoriti daripadanya iaitu hampir 99 peratus memilih bersetuju meminda perlembagaan itu.

Bagaimanapun, media antarabangsa menyiarkan laporan penuh perbandingan keputusan dua pungutan suara iaitu pada tahun 2012 (pemerintahan Presiden Mursi) dengan yang terbaru Selasa dan Rabu lalu.

Peratusan rakyat yang keluar mengundi bagi pindaan perlembagaan Mesir di bawah kudeta kali ini adalah hanya 11.03 peratus berbanding 2012 iaitu sebanyak 32.9 peratus.

Suruhanjaya Tinggi Pilihan Raya Mesir dijangka mengumumkan keputusan penuh pengundian pungutan suara ini pada Sabtu, 18 Januari 2014.

- Harakahdaily

Tiada ulasan: