20 Januari 2014

Selangor kesal Jepun hina Ketua Pembangkang

18 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor amat  kesal dengan kejadian yang menimpa Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dihalang memasuki negara Jepun berdasarkan laporan ‘sesuatu yang berlaku tahun lalu’ yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.


"Kerajaan negeri berpendapat perbuatan ini  menghina kedudukan beliau selaku Ketua Pembangkang Malaysia yang telah dipilih oleh rakyat secara sah menjadi Ahli Parlimen menerusi  Pililhan Raya Umum ke-13 yang lalu," kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Abdul Khalid berkata, lebih dikesali Selangor mempunyai hubungan baik dari segi diplomatik dan ekonomi dengan Jepun dimana pelabur Jepun adalah pelabur asing terbesar di Selangor manakala Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula adalah Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Mencerminkan hubungan baik dan kerjasama erat ini,  beliau berharap kerajaan Jepun dapat memberi penjelasan yang memuaskan berkaitan insiden ini supaya sebarang kekeliruan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Anwar yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada jam 6.45 pagi bukan sahaja gagal melepasi pemeriksaan imigresen bahkan diarahkan pulang menaiki penerbangan pertama dari Tokyo.

Anwar hadir ke Jepun atas jemputan Pengerusi Yayasan Nippon, Tan Sri Yohei Sasakawa.

Beliau terpaksa mengambil tiket penerbangan pulang ke Kuala Lumpur pada 10.45 pagi tadi.


Harakahdaily

Tiada ulasan: