13 Februari 2014

HRPB: Seksanya masalah parkir kereta.

13 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
Oleh: Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss

Hari ini saya berkesempatan melawat anak rakan baik saya, Salman Saleh yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Perak yang diberikan rawatan penyakit asma di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (HRPB).

Saya masih ingat sekitar bulan Jun 2008 yang lalu dimana Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan merasmikan penamaan semula Hospital Ipoh kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Penamaan tersebut juga adalah merupakan salah satu aturcara rasmi Kerajaan Negeri Perak sempena sambutan ulang tahun baginda yang ke-80. Sejarah Hospital ini bermula pada tahun 1891 sebagai Hospital Daerah.

Pada tahun 1942, hospital ini telah dinaiktaraf kepada Hospital Negeri selaras dengan keutamaan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat. Ianya penting sebagai pusat tumpuan rakyat di sekitarnya.

Dari masa ke masa, ia mangalami perubahan kemodenan dari pelbagai aspek termasuk pembinaan bangunan utama 8 tingkat pada tahun 1980, pembinaan Kompleks Klinik Pakar pada tahun 1992 dan Kompleks Rawatan Harian pada tahun 2005.

Pada tanggal 12 Jun 2008, hospital ini sekali lagi mencatat detik bersejarah setelah dinamakan semula kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun yang dahulunya dengan keupayaan hanya 50 buah katil sahaja.

Sekarang ini ianya memiliki sebanyak 990 katil dan kepesatannya memberikan perubahan ketara samaada pesakit ataupun pelawat yang berkunjung ke sana pada tiap-tiap hari.

Kini ada dua perkara penting yang sentiasa menjadi sebutan pengunjung hospital tersebut, ianya berkaitan masalah lif yang sentiasa rosak dan juga kekurangan tempat parker kereta.

Akibat kekurangan tempat letak kereta, pihak hospital telah mengambil pendekatan dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma dari Velodrome Rakyat ke hospital, pergi dan balik.

Perkhidmatan ini telah dimulakan sejak tiga tahun yang lalu. Namun hasil dari soal selidik yang dilakukan, tidak ramai yang menggunakan perkhidmatan ini sama ada tidak memberikan kesan atau sebaliknya.

Rungutan ramai pengunjung, disebabkan kekurangan masalah parkir kereta di sana, mereka terpaksa melalui satu lagi masalah iaitu saman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Bagi saya, masalah parkir kereta di situ mesti diatasi sepenuhnya setelah beberapa naik taraf dilakukan kini di hospital tersebut dan kekurangan kawasan yang sesuai bagi mengatasi masalah sedia ada.

Saya boleh bersetuju penumpuan pihak Kerajaan Negeri Perak untuk menumpukan masalah rawatan penyakit jantung apabila Makmal Invasif Kardiologi (ICL) yang menelan kos  RM 6.1 Juta akan dibina.

Ditambah hospital juga membeli barangan konsumble termasuk peralatan untuk prosedur angiogram seperti stent, belon dan kateter yang menelan kos RM 2.8 Juta dan perbelanjaan RM50,000.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperuntukan sebanyak RM 8.95 Juta bagi tujuan tersebut yang akan beroperasi sepatutnya pada bulan ini bagi kemudahan pesakit.

Dalam masa yang sama Kerajaan negeri Perak telah memohon peruntukan sebanyak RM 240 Juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf Hospital tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menjelaskan sebanyak RM 180 Juta bagi mewujudkan unit pediatrik dan materniti manakala baki RM 60 Juta lagi adalah untuk menubuhkan Jabatan Kardiologi.

Dalam masa yang sama Kerajaan Persekutuan juga sedang berusaha untuk membangunkan satu blok bangunan bagi kemudahan rawatan kesihatan ibu dan anak yang bernilai RM 300 Juta.

Tidak pula saya mendengar untuk mengatasi masalah parkir kereta dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan selama ini bagi mengurangkan beban pengunjung di sana.

Dulu, saya telah mencadangkan agar turut difikirkan supaya Hospital Besar Kedua Ipoh dirancang bagi mengatasi pesakit dan masalah pelawat yang terseksa dengan kemudahan yang ada sekarang ini.

Malah, saya harapkan Pakatan Rakyat boleh fikirkan satu perancangan jangka masa panjang untuk mengatasi masalah parkir kereta yang gagal diatasi sehingga kini dan saya turut rasainya!


#Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kangsar

Tiada ulasan: