12 Februari 2014

Gangguan air Kuala Langat, K'jaan Negeri pantau operasi

12 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

SHAH ALAM: Penduduk sekitar diminta untuk tidak panik berikutan penemuan pencemaran bahan ammonia melebihi 4 ppm di Loji Air Bukit Tampoi.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Kerajaan Negeri sudah mengarahkan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk menyelenggara operasi pembersihan dengan kadar segera.

Katanya, Syabas juga diminta untuk memaklumkan waktu operasi penghantaran lori-lori tangki air serta tempat berkumpul untuk orang ramai mengambil air.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau operasi penghantaran lori tangki air ke kawasan yang terjejas secara serius bagi mengelakkan orang ramai mengalami kesulitan.


“Kita juga akan mengambil tindakan segera untuk memastikan operasi pembersihan Loji Air Bukit Tampoi dapat disiapkan dengan kadar segera, harap semua pihak dapat bersabar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan penemuan pencemaran bahan ammonia melebihi 4 ppm di Loji Air Bukit Tampoi yang menyebabkannya terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi proses pembersihan.

Kejadian itu menyebabkan hampir 20,000 penduduk di kawasan Kampung Bukit Changgang, Olak Lempit, Labuhan Dagang, Rancangan Tanah Belia dan sekitar Banting terjejas keperluan air bersih mereka.

Dr Ahmad Yunus yang juga Adun Sijangkang berkata, antara kaedah yang akan digunapakai bagi membersihkan kandungan ammonia yang masih bersisa adalah dengan mengepam air dari tasik yang berhampiran dengan muka sauk bagi mengalirkan arus deras yang akan membersihkan kandungan ammonia.

Pada masa sama, Ahmad Yunus melahirkan kekecewaannya apabila terdapat segelintir masyarakat yang masih tidak peka terhadap keperluan dan kepentingan air kepada orang ramai.

“Orang ramai perlu sedar, punca air yang tercemar dengan bahan bertoksik bukan sahaja berbahaya kepada alam sekitar malah berpotensi memberi kesan buruk kepada kesihatan,” katanya.

Harakahdaily

Tiada ulasan: