21 Februari 2014

Karpal didapati bersalah kerana menghasut

21 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Peguam veteran Karpal Singh hari ini didapati bersalah mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan terhadap Sultan Perak semasa krisis perlembagaan pada 2009.

Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan, lapor The Malaysian Insider.

Pasukan peguam Karpal menggesa Azman menangguhkan hukuman ke hari lain bagi mereka menyediakan mitigasi untuk mendapatkan hukuman yang lebih ringan.
Karpal, 73, yang juga pengerusi DAP, juga berisiko hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen kerana kesalahan itu membawa sehingga denda berjumlah RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Karpal dilepaskan Mahkamah Tinggi pada 11 Jun 2010 daripada tuduhan mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di pejabatnya di Jalan Pudu Lama, di sini, 6 Februari 2009.

Pihak pendakwaan kemudian membuat rayuan dan Mahkamah Rayuan pada Januari 2010 memerintahkan Karpal  membela diri terhadap pertuduhan tersebut.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Harakahdaily

Tiada ulasan: