14 Februari 2014

Walau 10 orang bantah PBS tetap menggugat - SGMM

14 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) berpandangan walaupun hanya sepuluh orang sahaja yang hadir pada 'Himpunan 222: Mansuh PBS' nanti ia merupakan satu kejayaan yang mampu menggugat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Himpunan 222: Mansuh PBS itu akan diadakan di hadapan pekarangan bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya bermula jam 2.20 petang.

Himpunan aman itu dijangkakan dihadiri oleh 200 peserta yang menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Jelas Pengerusi Penaja SGMM, Mohd Nor Izzat Mohd Johari ketika dihubungi, beliau tidak berhajat untuk ‘menghasut’ kalangan guru untuk hadir bersama menyatakan sokongan.

Namun, katanya sebagai satu tanggungjawab untuk mengembalikan sistem pendidikan yang semakin nazak, para pendidik perlu hadir untuk memberi sokongan atas usaha tersebut.

"Kita dari SGMM berasakan walaupun hanya sepuluh orang yang hadir pada himpunan 222 itu nanti, ia merupakan satu kejayaan besar serta mampu mengugat pendirian KPM dalam soal pelaksanaan PBS yang dilihat banyak kepincangan.

"Saya tidak akan menghasut para pendidik untuk hadir tetapi atas rasa tanggungjawab sebagai pendidik anak bangsa, mereka perlu hadir dalam usaha kita mengembalikan sistem pendidikan yang semakin nazak," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga merupakan Ketua Gerak Kerja Kempen Mansuh PBS itu turut memberitahu, walaupun perbincangan telah diadakan dengan KPM dengan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh pada 24 Disember tahun lalu secara tertutup.

Namun, tiada penyelesaian diperolehi sebaliknya segala maklum balas yang diperolehi dari perbincangan itu digunakan untuk menutup segala kelemahan di dalam PBS.

"Tidak ada apa perkembangan diperolehi dari perbincangan secara tertutup itu, sebaliknya pihak kementerian mengambil segala topik perbincangan itu untuk mengubah fakta dan menutup kelemahan PBS.

"Bagi kami dari SGMM perbincangan itu gagal mencapai apa yang kami kehendaki, kita bukan ingin menghalang sesuatu pelaksanaan sistem tetapi biarlah ia menepati segala apa yang kita kehendaki.

"Adalah lebih baik dimansuhkan dan kembalikan kepada sistem lama, demi masa depan pelajar biarlah mereka belajar seperti mana sebelum in dan kita yang diberitanggungjawab mendidik anak bangsa hanya mahukan yang terbaik untuk mereka," sambung beliau.

Beliau yang juga merupakan seorang  guru di Pahang turut didatangi pihak polis di sekolah tempat beliau bertugas, disebabkan pada waktu itu beliau tidak berada di sekolah, pihak polis hanya mengambil nombor telefon dari rakan beliau.

Tiada ulasan: