26 Mac 2014

Pengsan beberapa kali, emosi ibu belum stabil

24 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -
EMOSI Normah Jaafar, 56, belum stabil sejak berita kehilangan anaknya dan pengsan beberapa kali selepas mendengar pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin.

Menurut adiknya, Mohd Sabri, 45, kakaknya itu masih terkejut dengan tragedi menimpa pesawat berkenaan.

“Dia memang tak boleh bersendirian sebab emosinya tak stabil lagi. Kalau dia seorang diri, dia mudah teringat kepada adik (Mohd Khairul Amri).

“Saya sendiri akan temankan kakak di sini, tetapi berharap kaunselor boleh kerap menemaninya pada waktu kritikal ini,” katanya.

Mohd Sabri berkata, kakaknya beberapa kali pengsan sejak malam kelmarin dan terpaksa dibawa ke Klinik Kesihatan Triang kira-kira jam 1 pagi semalam untuk rawatan susulan.

Katanya, emosi Normah kembali tidak stabil apabila pihak media meminta menunjukkan gambar Mohd Khairul Amri yang dirakam pada Hari Raya, tahun lalu.

Menurutnya, Normah memanggil isterinya, Mastura Jantan, 45, untuk menenangkannya kerana terlampau sedih.

“Akak rindu dia (Mohd Khairul Amri). Selalunya setiap hari dia telefon tapi sekarang dia dah tiada. Dia anak yang baik.” Itulah yang dituturkan Normah ketika dipeluk Mastura.

Bagaimanapun, Normah pengsan sekali lagi dalam pelukan Mastura kerana terlalu sedih mengenangkan keadaan yang berlaku ke atas anaknya itu.

Difahamkan Normah kembali pulih dan bersemangat apabila anak sulungnya, Adib Adli Syam, 34, bersama isteri dan cucunya pulang ke rumah.

Sementara itu, kehadiran kaunselor di sisi keluarga anak kapal dan penumpang pesawat MH370 perlu bergantung kepada kesesuaian masa dan keperluan kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, hubungan antara keluarga atau waris mangsa dengan pihak kaunselor perlu dipersetujui bersama.

Sinarharian

Tiada ulasan: