KANGAR: Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat melahirkan rasa sedih di atas kematian pengasas dan pengarah Tenaganita Irene Fernandez pada 31 Mac lalu.
Dalam kenyataannya, Pengerusi Lajnah, Mohd Anuar Tahir(gambar) berkata pemergian mendiang Irene yang juga mesra dengan panggilan 'Kakak Irene' adalah satu kehilangan besar kepada perjuangan hak asasi manusia, pengembalian demokrasi tulen dan perjuangan hak-hak pekerja di dalam negara ini.
"Irene yang saya kenali sejak dari awal tahun 1970-an sentiasa konsisten dalam perjuangannya termasuk sejak beliau menganggotai Majlis Belia Malaysia pada awal tahun 1970-an lagi.
"Irene adalah pejuang NGO yang berani dan terbukti sanggup melalui pelbagai tekanan dan kesengsaraan terutamanya dalam memperjuangkan nasib para pekerja tanpa mengira gender, ras, keturunan atau kepercayaan.
"Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat merakamkan ucapan takziah kepada kaum keluarga dan sahabat handai Irene di atas pemergian beliau," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor, Rodziah Ismail dalam perutusan takziahnya menyifatkan perjuangan menegakkan keadilan dan menumpaskan kezaliman sesama manusia oleh mendiang Dr Irene Fernandez akan dikenang dan diteruskan.
Menurutnya, Irene ialah seorang aktivis gigih yang telah melalui berbagai proses ujian dan pengalaman dalam usahanya menegakkan hak keinsanan dan keadilan untuk semua khususnya dalam membela nasib wanita, pekerja ladang, aktivisme antipemerdagangan manusia dan mempertahankan hak wanita mangsa penderaan fizikal dan seksual.
"Pertembungan beliau dengan status quo dan mereka yang berkuasa bukanlah perkara yang asing, sehingga pernah ditahan di bawah ISA.
"Di awal perjuangannya telah melaksanakan berbagai usaha advokasi, perlindungan dan pendakwaan untuk memberdaya rakyat ke arah menjadi asertif terhadap hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.
"Usaha-usaha beliau juga dihargai dan diiktiraf di peringkat antarabangsa," ujarnya.
Menurut Rodziah (gambar), mendiang Irene tidak jemu mendidik lapisan baru aktivis untuk memiliki pengetahun dalam berbagai isu seperti perundangan, keganasan, perlindungan mangsa keganasan, strategi advokasi dan mekanismenya, kepekaan gender dan hak-hak pekerja rakyat Malaysia dan migran dalam bidang pekerjaan formal dan informal.
"Malaysia dan dunia telah kehilangan satu suara yang lantang dan tegas menentang pencabulan hak mereka yang lemah dan dieksploitasi. Tetapi mendiang Irene Fernandez telah meninggalkan warisan lelaki dan wanita seperti beliau yang juga lantang dan tegas terhadap sebarang bentuk kezaliman.
"Irene Fernandez akan dikenang kerana jasanya kepada umat manusia," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan