02 April 2014

Simulator: Tiada bukti, nama Zaharie perlu dibersihkan

1 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar kerajaan dan pihak berkuasa tampil membuat penjelasan bagi membersihkan nama juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah yang dikaitkan dalam insiden kehilangan pesawat MAS MH370 pada 8 Mac lalu.

Beliau merujuk kepada laporan New York Times, yang mana Biro Siasatan Persekutuan (FBI) tidak menemui sebarang bukti yang boleh mengaitkan juruterbang MH370 dengan kehilangan pesawat itu.

Perkara itu didedahkan dua pegawai penyiasat selepas FBI meneliti cakera keras dan simulator penerbangan yang diambil dari rumah kedua-dua juruterbang MH370 di Malaysia.

"Kita harap kerajaan segera memberi penjelasan bagi memulihkan nama Zaharie yang telah dikaitkan dengan insiden tersebut.

"Ini amat penting bagi memulihkan maruah juruterbang itu dan juga keluarga beliau dari tanggapan negetif masyarakat umum dan antarabangsa," katanya kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga meminta Ketua Polis Negara segera membuat penafian bahawa wujud penglibatan Zaharie di dalam inseden kehilangan MH370.

"Sebelum ini kita lihat pihak polis dengan pantas menyerbu rumah milik juruterbang dan merampas simulator sehinggakan pelbagai tomahan negetif timbul.

"Dengan penjelasan FBI, Ketua Polis Negara pelu segera membuat penafian dan ia tidak lagi boleh ditangguh lagi," sambung beliau.

Harakahdaily

Tiada ulasan: