18 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -
Rumah usang ini meninggalkan seribu kenangan pahit dan manis dalam hidup ini. Ianya saya ambil dari koleksi gambar rakan seperjuangan @Adanan Hussin yang juga berada di sini suatu masa dulu. Melihat gambar ini mengamit beberapa kenangan untuk kita kongsikan bersama.
Rumah ini adalah rumah pertama yang dimiliki oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia-Cabang Aceh (PKPMI-CA) dengan disewakan oleh pemiliknya warga tempatan yang kami panggil Pak Talib.
Disinilah kegiatan pelajar Malaysia diadakan termasuklah menempatkan Pejabat PKPMI-CA . Kami persatuan pelajar yang di ketuai oleh Abg Ismail sebagai ketua pelajar yang kami panggil Yang Dipertua mula menyewa di sini pada penghujung tahun 1986 dan ia masih disewa sehingga saya dan isteri menamatkan pengajian pada tahun 1992. Rumah dua tingkat ini mempunyai 5 bilik. 4 bilik digunakan untuk tempat tinggal 8 pelajar pada satu masa dengan kapasiti 2 orang sebilik dan satu bilik menempatkan pejabat dan bilik mesyuarat PKPMI-CA.
Semasa saya mengadakan kunjungan hormat ke Aceh pada tahun 2011 yang lepas saya mendapati mess pelajar Malaysia ini sudahpun berpindah ke lokasi lain yang letaknya tidak jauh dari mess asal ini.
Cerita menarik dirumah ini bukan alang kepalang banyaknya. Cuma saya tertarik untuk menceritakan pahit getir sebelum kami tinggal dirumah ini.
Rombongan pelajar Malaysia pada Jun 1986 seramai 12 orang bersama saya...kami dianggap generasi ke 3 pelajar Malaysia yang datang menuntut ilmu di Aceh. Generasi pertama ilah Arwah Ustz Razali Din berasal dari Merbuk Kedah yang juga dikenali sebagai seorang qari yang hebat dizamannya. Seorang lagi generasi kedua ialah Almarhum Ust Abdul Rahman dari Kelantan, Beliau berada di Aceh pada tahun 60 an dan 80 an. Dizaman "ganyang malaya", Ustaz Razali Din berada di sana dia amat dikenali dengan kebolehannya sebagai seorang qari. menurut cerita orang Aceh yang sempat saya dengar, beliau sering dijemput dipelbagai majlis untuk mengumandagkan bacaan Al Quran. Namanya terpahat dan meniti dibibir mulut orang Aceh .
Generasi kedua di ketuai oleh Abang Ismail Abbas, arwah Abg.Sattar, Abg Hanafi, Kak Rahmah Md Isa, dan Abg Karim. merekalah yang berjasa dengan membantu kami untuk masuk belajar pada tahun 1986 di IAIN Ar Raniry yang sekarang dikenali dengan Universiti Islam Negeri Ar Raniry ringkasnya UIN Ar Raniry.
Kamilah generasi ketiga dengan nama yang masih ingati terdiri dari saya sendiri, arwah Ridwan Penanti, Abd Munir Kedah, Abg Abbas Penang, Ibrahim Mamat Pengkalan Chepa, Nik Amri Kelantan, Wan Yusof Kelantan , Kamil wakaf Baharu, dan yang lain berjumlah seramai 12 orang.
Pertama kami sampai di Aceh kami ditempatkan sementara waktu atau menumpang di mess Pelajar IAIN Ar Raniry bersama pelajar Indonesia yang lain atas usaha Persatuan Pelajar Malaysia yang ada pada masa itu. Kami menetap di mess pelajar tidak jauh dari pekan Tungkop yang letaknya sekitar 2 km dari kampus IAIN. Kami berada disitu sekitar sebulan lamanya sehingga kami habis mengikuti ujian kemasukan dan semuanya lulus untuk menduduki kuliah pada semester pertama. Selepas lulus ujian kemasukan kami balik Malaysia untuk urusan Visa Belajar di Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur . Selepas urusan visa selesai kami kembali ke Aceh dan mula menetap di mess ini.
Seronoknya tinggal sementara di mess IAIN Ar Raniry dimana setiap hari kami makan nasi bungkus yang dibeli di pekan Tungkup. Hari-hari awal kami terkejut bila membuka bungkusan nasi yang begitu banyak dan kami rasa tidak mampu menghabiskannya. Malah ada yang kata layak untuk dikongsi 2 orang untuk sebungkus. Namun kerana setiap hari kami makan nasi bungkus tersebut membuatkan kami semuanya mampu menghabiskan sebungkus nasi itu apa lagi dibantu oleh kicap ABC yang terkenal di Indonesia sampai sekarang.
Tinggal di mess sementara juga diuji dengan tiadanya air paip. Kami hanya ada telaga yang airnya yang keruh umpama teh tarik . Kami mandi dan basuh kain dengan menapis air itu terlebih dulu dan memerlukan masa yang lama. Apapun ianya merupakan kenangan yang manis dan menyeronokkan dalam hidup ini..
Diwaktu awal kami berada di Aceh yang juga dikenali dengan Tanah Rencong itu, kami diajar oleh penduduk setempat dan oleh abang-abang yang senior kami untuk mengenali budaya dan adat orang Aceh. Memang orang Aceh sangat kuat berpegang kepada adat dan tradisi lama. Kerana itu ianya menjadi perkara awal yang perlu kami pelajari supaya disamping kami menimba ilmu di dewan kuliah , kami juga adalah menjadi sebahagian dari masyarakat yang kami diami.
BERSAMBUNG.......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan