17 April 2014

Hudud: Cukup dengan kenyataan Presiden PAS

18 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan penjelasan oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung persoalan hudud semalam sudah memadai setakat ini.

Beliau berkata, dengan penjelasan Presiden PAS itu, beliau dan juga pimpinan PAS yang lain tidak perlu lagi melangkaui untuk mengulas lanjut perkara itu.

"Cukup dengan kenyataan Presiden PAS itu dan saya mendukung penuh kenyataan itu," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Beliau menjelaskan demikian ketika diasak wartawan media arus perdana agar mengulas isu itu dalam konteks pendirian parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Terdahulu, pada sidang media itu beliau membangkitkan isu penutupan Universiti Antarabangsa Albukhary dan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Bercakap kepada Harakahdaily selepas itu, Mahfuz bagaimanapun berkata, pihak PAS sentiasa bersedia untuk memberi penjelasan berhubung isu itu kepada semua pihak.

"Yang penting Umno itu sendiri perlu mengotakan janji untuk menyokong sebarang langkah yang kita ambil dalam isu ini," kata beliau.

Semalam, Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika ditanya pemberita berkata, terpulang kepada mana-mana parti termasuk dalam Pakatan Rakyat untuk menyatakan pendirian mereka terhadap usaha pelaksanaan hudud di Kelantan.

Ini kerana katanya, tidak ada sebarang perjanjian untuk menghalang PAS daripada mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Persedirian berhubung perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 negeri itu ke Parlimen.

"Isu hudud di Kelantan ini mendahului Pakatan Rakyat. Ianya sejak tahun 90-an. Awal lagi sebelum ada Pakatan Rakyat.

"Dengan sebab itu tidak ada masalah untuk kita kemukakan (RUU Persendirian).

"Adapun pendirian parti lain, terpulang kepada mereka. Kita konsisten dalam isu ini," kata beliau yang ditemui di luar Dewan Undangan Negeri Terengganu, semalam.

Beliau juga menjelaskan bahawa PAS menyokong penuh tindakan Kerajaan Kelantan pimpinan Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob yang mahu mengemukakan RUU Persedirian itu selewat-lewatnya Disember tahun ini.

Ketetapan 2011

Ketika isu ini hangat diperkatakan pada 2011 lalu, Pakatan Rakyat telah menyatakan pendirian bersama dalam isu ini melalui satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 29 September di Pejabat Agung PAS.

Dalam sidang media yang dihadiri bekas Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu, mereka mengumumkan mengambil pendirian menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

Ia termasuk menghormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran bertentangan dengan perlembagaan.

Mereka juga bersetuju memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang wujud sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat.

Keputusan itu menjadi asas dalam membincangkan isu hudud ini dan ianya terus terpakai sehingga sekarang.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: